HEADLINES

Pengasuh warga Indonesia didakwa abaikan bayi 2 bulan hingga maut

Mulyati Kalim didakwa telah mengabaikan dengan meninggalkan bayi perempuan tersebut tanpa pengawasan sehingga membawa kepada kematian

4:13 PM MYT

 

PETALING JAYA – Seorang pengasuh taska warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengabaikan bayi perempuan berusia dua bulan sehingga menyebabkan kematiannya, bulan lalu.

Mulyati Kalim, 51, didakwa sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga bayi itu, Qaseh Aulia Faizul telah mengabaikan dengan meninggalkannya tanpa pengawasan sehingga membawa kepada kematian.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah taska di Kota Damansara, di sini, pada 9.40 pagi, 10 Oktober lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, P. Vithiya Monisha tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes itu serius sehingga membawa kematian seorang bayi.

“Sekiranya mahkamah ingin membenarkan jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh melaporkan diri ke balai polis sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai kerana tertuduh warga asing,” katanya.

Peguam Badrul Munir Bukhari yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya berkahwin dengan warga tempatan selain menanggung empat anak.

“Anak guam saya tidak mempunyai pendapatan kerana tempat dia bekerja telah ditutup oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan bergantung kepada suami yang bekerja sebagai pengawal keselamatan. Mohon anak guam dibenarkan jaminan rendah,” katanya.

Hakim Syahliza Warnoh membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan dua penjamin tempatan dan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan selain menetapkan 21 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, ibu kepada Qaseh Aulia, Maisarah Rosli, 33, ketika ditemui pemberita selepas prosiding mahkamah berharap mendapat keadilan buat anaknya.

“Biarlah mahkamah menentukannya (kes itu),” katanya. – 22 November, 2023

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

Related