HEADLINES

6 ditahan reman, disyaki jual gelaran ‘Tan Sri’ RM2 juta

Presiden sebuah NGO turut ditahan disyaki jadi dalang utama menetapkan harga pingat kebesaran

11:54 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman enam individu termasuk dua wanita kerana disyaki terlibat sindiket penjualan Darjah Kebesaran Pingat Persekutuan palsu yang membawa gelaran Tan Sri dengan bayaran kira-kira RM2 juta.

Menurut sumber, suspek iaitu tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 30 hingga 50-an ditahan pada 30 November lalu di ibu pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan manakala dua lagi suspek iaitu wanita berusia 40-an serta lelaki berusia 30-an ditahan secara berasingan pada 4 dan 6 Disember lalu.

Sumber berkata, suspek terbaharu yang ditahan kira-kira pukul 3 petang di Melaka kelmarin merupakan Presiden sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) disyaki menjadi dalang utama menetapkan harga bagi calon yang berminat mendapatkan pingat kebesaran.

Suspek didakwa mengarahkan ahli sindiketnya iaitu suspek kedua, lelaki berusia 50-an yang menyamar sebagai Tengku bagi mendapatkan bayaran bagi menipu kira-kira enam individu lain yang ingin mendapatkan pingat kebesaran tanpa melalui prosedur biasa.

Sumber berkata, isteri suspek kedua pula dipercayai terlibat bersama dua lagi suspek yang menyamar sebagai ahli perniagaan sebuah syarikat berasaskan pertanian bagi menguruskan transaksi penerimaan wang tersebut.

“Sindiket dipercayai mula menjalankan kegiatan ini sejak 2020 dan telah memperdaya beberapa mangsa membabitkan kerugian beratus ribu ringgit dengan menunjukkan gambar dan surat dokumen daripada sebuah agensi kerajaan bagi meyakinkan mangsa bahawa gelaran dan pingat yang diatur melalui pintu belakang, ini adalah benar-benar tulen.

“Salah seorang mangsa lelaki yang berusia dalam lingkungan 50-an dipercayai telah membayar kira-kira RM1.2 juta untuk mendapatkan gelaran Tan Sri menerusi beberapa transaksi bank kepada sindiket ini dan SPRM sedang berusaha mengesan 5 lagi invididu yang turut menjadi mangsa sindiket,” kata sumber itu.

Menurut sumber, bayaran yang dikenakan berbeza mengikut darjah kebesaran misalnya gelaran Datuk bernilai kira-kira RM150,000; Datuk Seri (RM250,000) manakala Tan Sri bernilai kira-kira RM2 juta.

Susulan penahanan tersebut, tiga suspek yang ditahan telah disambung reman selama tiga hari bermula 6 hingga 8 Disember manakala seorang suspek telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

“Suspek wanita yang ditahan pada 4 Disember lalu telah ditahan reman selama empat hari bermula 5 hingga 8 Disember manakala suspek utama ditahan reman selama lima hari bermula semalam sehingga 11 Disember selepas perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya, semalam,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, SPRM kini sedang mengesan beberapa lagi suspek yang dipercayai terlibat dengan sindiket tersebut. – 8 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Government to roll out targeted RON95 subsidy using IC-based verification

Tech-driven mechanism aims to curb misuse and ensure only deserving Malaysians benefit from subsidised fuel

Related