◉ HEADLINES

Pasukan forensik periksa rumah Zayn Rayyan

Ibu bapa Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan meninggalkan kediaman mereka sebaik sahaja pihak forensik bergerak pulang

6:09 PM MYT

 

PETALING JAYA – Pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan pemeriksaan selama kira-kira 40 minit di kediaman keluarga kanak-kanak mangsa bunuh, Zayn Rayyan Abdul Matiin di Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai di sini, petang ini.

Tiga anggota forensik dilihat tiba kira-kira jam 4.20 petang untuk menjalankan pemeriksaan sebelum meninggalkan kediaman pada jam 5 petang.

Pihak media dilarang mendekati kawasan kediaman mangsa sepanjang pemeriksaan terbabit.

Menerusi hasil pemerhatian Scoop, ibu bapa Zayn Rayyan, iaitu Ismanira Abdul Manaf, 28, dan Zaim Ikhwan, 28, turut meninggalkan kediaman mereka sebaik sahaja pihak forensik bergerak pulang.

Ibu bapa Zayn kini menetap di kediaman datuk kanak-kanak itu di Subang Bestari.

Terdahulu, Zayn Rayyan disedari hilang sejak 12.30 tengah hari Selasa lalu, sebelum ibunya membuat hebahan di media sosial dan laporan polis.

Usaha pencarian dijalankan polis dengan dibantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan anjing pengesan Unit K9, membabitkan kawasan belukar dan longkang berhampiran dalam radius kira-kira 300 meter.

Dia kemudian ditemui tidak bernyawa sehari kemudian di kawasan anak sungai, berhampiran kediamannya.

Menurut kenyataan polis, sungai berkenaan terletak kira-kira 100 meter dari kawasan rumah kanak-kanak itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain pada sidang media berkata, Zayn Rayyan dipercayai dibunuh di tempat lain, bukan di lokasi mayatnya ditemui.

Susulan penemuan itu, polis giat menjalankan siasatan terperinci bagi memburu suspek menerusi pelbagai kaedah.

Kes terbabit turut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – 10 Disember, 2023

Topics

 

◉ Hangat

Lower assessment rates for PJ properties, but up to 25% higher quantum due to property value

MBPJ set to review real estate taxes for 2025, 33 years after last revision

What will we call for next? A ban on cheap cigarettes, tuak and kapcais? – Rocky Bru

While concerns over drug-laced vapes grow, a blanket ban could backfire by wiping out businesses, threatening jobs, pushing trade underground amid weak enforcement and open tank loopholes

Malaysia Airlines steps up Europe flights to help stranded travellers

Extra services to London and Paris launched in response to global disruptions

◉ Related