Tanah runtuh: Keluarga Mee Yeng enggan pindah, ‘saya yakin kediaman masih selamat’

Low Mee Yeng nekad untuk terus menetap di rumahnya dalam keadaan bekalan air dihentikan sementara

2:04 PM MYT

 

PUCHONG – Sebuah keluarga yang menetap di Jalan Wawasan 3/9, Taman Wawasan di sini yang berdepan kejadian tanah runtuh Sabtu lalu, enggan berpindah walaupun sudah dinasihatkan berbuat demikian kerana yakin kediaman mereka tetap selamat.

Pesara, Low Mee Yeng, 69, tinggal selang beberapa rumah daripada sembilan rumah didiami 29 penghuni yang sudah berpindah.

Dia, suaminya dan dua anak mereka juga nekad terus menetap di situ dalam keadaan bekalan air di lorong berkenaan dihentikan sementara.

Mee Yeng berkata, mereka akan tetap tinggal di kediaman itu dan menunggu arahan seterusnya daripada pihak berkuasa berhubung situasi terkini insiden terbabit dan keadaan persekitaran.

“Jiran-jiran saya sudah berpindah ke rumah keluarga terdekat masing-masing sejurus insiden ini berlaku.

“Saya dan keluarga yakin masih selamat sebab kediaman kami agak jauh sedikit hampir 100 meter daripada kawasan berlaku tanah runtuh.

“Selain itu kami juga ada sedikit masalah kewangan sebab itu tidak berpindah walaupun sudah disarankan pihak berkuasa,” katanya hari ini.

Lorong 3/9 Jalan Wawasan memiliki kira-kira 18 rumah dan susulan insiden terbabit, 29 penghuni dari sembilan rumah paling hampir dengan kawasan tanah runtuh berkenaan sudah diarah berpindah pada hari kejadian.

Kerja-kerja menanam cerucuk besi giat dilakukan di kawasan tanah runtuh hari ini bagi mengawal pergerakan tanah yang dikesan berlaku di Taman Wawasan, Puchong semalam. – Gambar Alif Omar/Scoop, 18 Disember, 2023

Selain itu, Mee Yeng berkata, beliau akan menunggu respon dari pihak berkuasa sekiranya ada arahan wajib untuk berpindah.

“Saya turut difahamkan bahawa pusat penginapan sementara (PPS), hanya disediakan untuk beberapa kediaman terjejas dan kediaman saya tidak termasuk,” katanya.

Menurutnya, dia berharap ada tindakan susulan daripada pihak berkuasa untuk membantu warga sekitar yang masih tinggal di kediaman mereka.

“Saya percaya masih ada warga sekitar yang tetap tinggal di kediaman mereka kerana tiada tempat berpindah,” katanya.

Seorang penduduk terjejas, Lai Seow Yik, 48, memaklumkan, beliau pulang sebentar ke rumah untuk mengambil beberapa barangan peribadi miliknya.

Dia yang bekerja sebagai jurujual di China berkata, baru tiba di Malaysia semalam selepas dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

“Saya dihubungi pihak bomba memaklumkan tanah runtuh berlaku berhampiran kediamaan saya, justeru saya terus bergegas balik dan sampai semalam.

“Ini kali pertama kejadian tanah runtuh berlaku di sini sepanjang hampir 30 tahun tinggal di kediaman ini,” katanya yang menumpang di rumah kawannya.

Lai Seow Yik pulang sebentar ke rumahnya di Taman Wawasan, Puchong hari ini untuk mengambil beberapa barangan peribadi. – Gambar Alif Omar/Scoop, 18 Disember, 2023

Seow Yik turut memaklumkan, penduduk tidak diberikan tempoh tetap sampai bila mereka harus menetap di tempat lain dan tidak dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

“Kita hanya menunggu makluman lanjut pihak berkuasa, harap semuanya dapat dipulihkan segera,” katanya yang tidak bimbang untuk kembali tinggal ke kediamannya apabila kerja baik pulih selesai.

Sementara itu, Pengerusi Bencana Daerah Petaling, Rahilah Rahmat berkata, PPS menempatkan penduduk di kawasan itu, ditutup pada jam 9 malam semalam.

“Mangsa sudah berpindah ke rumah saudara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Rahilah berkata, kerja penanaman cerucuk besi akan diteruskan pada hari ini.

“Jabatan Mineral & Geosains (JMG) dan Jabatan Kerja Raya (Bahagian Cerun dan Forensik) akan meneruskan pemeriksaan di lokasi,” katanya.

Kejadian tanah runtuh di Jalan Wawasan 3/9 dan 3/14 itu yang berlaku kira-kira 7.30 malam Sabtu lalu, turut mengakibatkan empat kenderaan tertimbus, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Susulan kejadian itu, 29 penghuni di sembilan rumah teres di Taman Wawasan Puchong di sini, diarah berpindah atas faktor keselamatan. – 18 Disember, 2023

Topics

Hangat

Fuad has no right to intervene in Sabah 40% special grant case: Kitingan

Deputy CM asserts that the lawyer has no authority to speak for state govt as he was not appointed

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

‘Non-Bumiputera doctors don’t even want to enrol at UiTM,’ says Umno’s Akmal

Umno Youth chief says certain quarters with ‘political interests’ are harping on the issue to disrupt racial harmony

Related