Tanah runtuh: Penduduk berdekatan sembilan rumah terjejas insiden tak perlu khuatir, kediaman mereka selamat didiami

Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, setakat jam 5 petang tadi, sebanyak 22 cerucuk besi dipasang hari ini, menjadikan jumlah cerucuk yang sudah dipasang 74

7:33 PM MYT

 

PUCHONG – Deretan kediaman yang tidak terjejas disebabkan kejadian tanah runtuh di Jalan 3/9 Taman Wawasan di sini, diklasifikasikan sebagai masih selamat untuk didiami.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata setakat ini, penduduk kediaman yang terletak berdekatan dengan sembilan rumah terjejas akibat insiden terbabit, tidak perlu bimbang untuk terus menetap di situ.

“Deretan (rumah) berhampiran sembilan rumah yang terjejas dengan tanah runtuh itu masih dianggap kawasan selamat.

“Kalau kita rasa tidak selamat hasil laporan jabatan yang berkaitan, kita akan maklumkan kepada penduduk.

“As of now (setakat ini), (penduduk) tidak perlu bimbang,” katanya kepada media ketika ditemui di lokasi kejadian tanah runtuh hari ini.

Anbalagan berkata, pihak berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Mineral & Geosains (JMG) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) akan terlebih dahulu melakukan pemeriksaan terperinci, sebelum membenarkan kesemua 29 penduduk dari sembilan rumah terjejas itu kembali mendiami kediaman mereka selepas kerja pemasangan cerucuk besi selesai.

“Kita kena buat assessment (penilaian) dulu daripada jabatan berkaitan.

“Selepas assessment barulah kita boleh lihat sama ada selamat atau tidak untuk mereka kembali ke rumah terbabit,” katanya.

Pemasangan sebanyak 375 cerucuk besi akan dijalankan di sepanjang 150 meter laluan tanah runtuh di Taman Wawasan, Puchong yang dijangka siap dalam tempoh dua minggu, bergantung kepada cuaca – Juliana Johar/Scoop, 19 Disember, 2023

Dalam perkembangan sama, Anbalagan berkata, setakat jam 5 petang tadi, sebanyak 22 cerucuk besi dipasang hari ini.

Menurutnya, pemasangan itu menjadikan jumlah keseluruhan cerucuk sudah dipasang di kawasan tanah runtuh bagi menstabilkan struktur tanah adalah 74.

Kerja pemasangan juga, katanya, dijangka memakan masa dua minggu bergantung kepada cuaca.

“Setakat hari ini, sebanyak 74 cerucuk sudah dipasang daripada 375 jumlah cerucuk besi akan dipasang.

“Dua ukuran cerucuk besi digunakan, iaitu bersaiz sembilan meter dan 12 meter mengikut kedalaman sesuatu kawasan di situ.

“Kita berharap cuaca berpihak kepada kita agar dapat laksanakan kerja mitigasi tanam besi cerucuk ini (dengan lancar),” katanya.

Pada masa sama, Anbalagan mengesahkan setakat petang tadi, tiada sebarang pergerakan tanah luar biasa berlaku di lokasi berkenaan.

Kejadian tanah runtuh di Jalan Wawasan 3/9 dan 3/14 yang berlaku pada jam 7.30 malam Sabtu lalu itu, turut menyebabkan empat kenderaan tertimbus, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Empat kenderaan itu adalah Honda Jazz, Nissan Skyline, Honda City dan Naza Citra.

Susulan kejadian itu, 29 penghuni di sembilan rumah teres di Taman Wawasan Puchong diarah berpindah atas faktor keselamatan. – 19 Disember, 2023

Topics

Hangat

Saya juga manusia, punya hati: Ning Baizura sedih, terguris diri digelar Kristian, keluarga dikritik

Jelas Ning, beliau kecewa kerana daripada satu perkara kecil, ia diperbesarkan segelintir netizen, termasuk menyerang Instagramnya dengan kata-kata hinaan

Iranian President Ebrahim Raisi confirmed dead as burnt helicopter wreckage found

No survivors have been found since crashed helicopter site was discovered, says Iranian Red Crescent Society

Two bullets, profane letter in my mailbox: Teresa Kok lodges report on death threat

Seputeh MP shares her distress after discovering threatening note while retrieving her mail yesterday; police have inspected the scene at her residence

Related