HEADLINES

Hormati demokrasi, tunggu PRU untuk usaha tukar kerajaan: Shamsul Iskandar

Katanya, biar kerajaan sedia ada memimpin demi kestabilan negara dan ekonomi, sekali gus tidak berlaku peristiwa pertukaran pemimpin silih berganti yang tidak menguntungkan rakyat

2:50 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mengingatkan semua pihak bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi dengan mengadakan pilihan raya setiap lima tahun sekali.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri itu berkata, demokrasi terbabit membolehkan setiap parti berkempen untuk memberi peluang kepada rakyat membuat pilihan.

Justeru, katanya, mana-mana pihak atau individu yang mempunyai cita-cita dan hasrat untuk menjadi kerajaan, diminta berdisiplin dengan menunggu Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Pada masa ini, biar kerajaan sedia ada memimpin demi kestabilan negara dan ekonomi, sekali gus tidak berlaku peristiwa pertukaran pemimpin silih berganti yang tidak menguntungkan rakyat.

“Cukuplah rakyat sudah melihat bahawa sepanjang ‘period’ (tempoh) dari 2018 hingga 2022, berlaku perubahan kerajaan demi kerajaan yang tidak menguntungkan.

“Siapa yang ada cita-cita dan hasrat untuk menjadi kerajaan tunggulah pilihan raya akan datang,” katanya ketika mengulas mengenai sindiran Tun Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung Langkah Dubai.

Beliau berkata demikian kepada media di luar pekarangan Balai Polis Seberang Jaya, Butterworth selepas membuat laporan polis terhadap seorang aktivis pembangkang, Chegubard yang didakwa mengaitkan namanya dengan penyelewengan dana badan bukan kerajaan (NGO).

Shamsul Iskandar berkata, beliau hairan dan pelik dengan hantaran Tun Mahathir yang langsung tidak mengulas serta menyentuh mengenai Langkah Sheraton.

“Beliau (Tun M) mengulas mengenai Langkah Kajang dan sebagainya, tetapi tidak ambil pendirian berhubung Langkah Sheraton yang kita tahu Tun M masa mula-mula beliau menjadi Perdana Menteri pun, beliau memulakan langkah juga untuk memastikan Datuk Seri Anwar tidak menjadi Perdana Menteri.

“Jadi, saya fikir kumpulan yang menggerakkan dan meuar-uarkan Langkah Dubai ini untuk menumbangkan kerajaan, pada saya sekadar khayalan dan angan-angan mat jenin yang tentunya tidak mempunyai asas sama sekali.

“Kita tahu bahawa untuk rekod dalam Parlimen Malaysia, sekarang ini sokongan terhadap PMX (Anwar) melebihi dua pertiga yang mana kalau kita lihat mana ada Perdana Menteri yang mula-mula diberikan amanah untuk memimpin negara, memulakan langkah politik dalam negara ini dengan membawa usul undi percaya dalam Parlimen,” katanya.

Semalam, Shamsul Iskandar memaklumkan beliau akan membuat laporan polis itu terhadap Chegubard atau nama penuhnya Badrul Hisham Shaharin, pagi ini.

Tindakan itu, ujarnya, diambil susulan fitnah dibuat ahli Bersatu terbabit yang mengaitkan namanya berhubung penyelewengan dana NGO.

Katanya, Chegubard memuatnaik hantaran berunsur fitnah menerusi Facebook pada 5 Januari lalu yang mengandungi pelbagai tuduhan dan tohmahan tidak benar, tidak berasas serta berniat jahat untuk menjatuhkan maruahnya.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan dan tohmahan jahat yang dibuat ke atas diri saya.

“Jelas, ruang yang diberi untuk membuat aduan bukannya lesen mudah memberi laluan untuk fitnah serta publisiti murahan.

“Tambahan, segala prosedur pemberian sumbangan kepada mana-mana pihak, termasuk NGO perlu melalui tatacara yang sudah ditetapkan unit penyelarasan pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri,” katanya menerusi kenyataan.

Chegubard menerusi akaun media sosial terbabit, memuatnaik hantaran mendakwa wujud penyelewengan dana NGO yang diagih Shamsul Iskandar.

Dakwanya, pihak Shamsul Iskandar mahu mengagihkan dana bantuan NGO, termasuk bakul makanan tetapi ia bukan untuk program, sebaliknya hanya bagi mengaut dana. – 6 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

‘Robbed again’: Johor Orang Asli accuse trustees of misusing RM6mil from land compensation fund

Linggiu Valley community files MACC report, claiming decades-old RM38.5mil trust meant for their families has been abused repeatedly

Govt to develop 102-acre Kota Madani in Putrajaya as model people-first city: PM

First phase to include 3,000 homes and high-rise school by 2027 under integrated urban plan 

Related