Dakwaan rasuah KFA: ‘Saya sebenarnya target, depa hanya aksesori saja’

Sanusi mendakwa, kes itu sengaja diadakan-adakan untuk menganiaya empat individu terbabit dan membina naratif buruk terhadap kerajaan Kedah

1:12 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa dirinya menjadi sasaran sebenar pihak tertentu dalam dakwaan kes rasuah membabitkan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Beliau yang juga Presiden KFA mendakwa, penahanan empat individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif KFA, hanyalah sebagai aksesori saja untuk mengada-adakan kes terhadap mereka, selain membina naratif buruk kerajaan Kedah diterajuinya.

“Menganiaya depa tu… tak boleh buat gitu, dosa. Sayalah tak seiring tu. Semua tu aksesori tapi targetnya saya. Nak cari kes saya berbulan-bulan, pulun cari tak jumpa. Hangpa (Awak) ni nak apa? Nak kebenaran ka nak perkena orang?

“Kebenaran hangpa dah jumpa, Sanusi tak ada kes. Tapi apa hangpa ada-adakan juga, salah satunya mempamerkan persepsi, bina naratif bahawa di Kedah ini rasuah banyak. Bola pun rasuah,” katanya menerusi video yang dikongsi di Facebook beliau, hari ini.

Mengulas lanjut, Sanusi berkata, dakwaan tersebut menyebabkan pihak yang bersetuju untuk memberi sumbangan kepada KFA menarik balik keputusan mereka.

“Kesannya apa… KFA yang sedang menanggung beban hutang, menanggung pasukan futsal, pasukan Piala Presiden, Piala Belia, semua dah setuju nak sumbang kepada KFA, bila depa buat cerita ini, orang jadi ‘serot’ (takut).

“Depa tak mau bagi sebab berlaku penyelewengan dalam KFA tapi sebenarnya tak berlaku. Duit sumbangan itu ada dalam KFA tapi tiba-tiba tuduh rasuah. Tak betul hangpa punya naratif ni,” katanya.

Pada masa sama, Sanusi berkata, beliau bersedia memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memperjelaskan kedudukan sebenar KFA yang dikaitkan dengan dakwaan rasuah.

Katanya, tiada unsur penyelewengan dalam KFA kerana wang dimaksudkan itu sememangnya berada dalam akaun persatuan itu, bukannya akaun peribadi.

Malah beliau menegaskan jumlah yang diuar-uarkan juga tidak tepat, hanya RM5 juta dan bukannya RM6 juta seperti didakwa.

“Tak dimaklumkan apa-apa setakat ini (hadir beri keterangan kepada SPRM).

“Saya sedia beri kerjasama 28 jam sehari. Datanglah bila pun, nak tanya apa? Mai (datang) saya nak jawab,” katanya.

Pada Jumaat lalu, SPRM menahan reman empat individu termasuk CEO KFA masing-masing berusia antara 40 hingga 60 tahun bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah bernilai RM6 juta.

Wang rasuah berkenaan dipercayai sebagai balasan bagi membantu seorang pemilik syarikat mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji rawatan air di Kedah. – 8 Januari, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Lazada’s Malaysian office not spared from major layoffs

Employees across various departments at Lazada Malaysia's office have allegedly been informed about an impending meeting with the company's human resources team in the next few days. 

Ibu Zayn Rayyan ‘tinggalkan’ media sosial, tak tahan komen jahat netizen kaitkan dengan pembunuhan

Menurut Zahari Mohd Reba, menantunya itu masih lagi trauma dan terkesan di atas kehilangan Zayn Rayyan, yang ditemukan mati dibunuh di saliran air kira-kira 100 meter dari kediaman mereka di Apartmen Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember tahun lalu

Related