HEADLINES

Langkah Dubai: Polis Kontinjen Kuala Lumpur terima lapan laporan

Ketua Polis KL berkata siasatan sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk tindakan lanjut

8:27 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Polis Kontinjen Kuala Lumpur menerima lapan laporan daripada wakil parti politik berhubung gerakan “Langkah Dubai” yang dikatakan bertujuan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan terbabit antaranya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, Cheras dan Dang Wangi semalam.

“Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Mahathir Mohd Yunus, Pegawai Tugas-Tugas Khas Kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin membuat laporan berhubung perkara itu di IPD Cheras semalam.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, Mahathir berkata gerakan itu jelas bertujuan untuk mengganggu-gugat sistem demokrasi berparlimen walaupun setelah adanya Akta Anti Lompat Parti.

Ketua Biro Guaman Angkatan Muda Keadilan Asheeq Ali Sethi Alivi yang membuat laporan di IPD Dang Wangi pula menggesa polis untuk membuat siasatan terhadap individu yang disyaki terbabit dengan gerakan itu termasuk penulis blog kontroversi Raja Petra Kamarudin.

“Negara memerlukan kestabilan politik untuk membina kemakmuran ekonomi bersama, tindakan tegas harus diambil kepada mereka yang menggugat kestabilan kerajaan sedia ada hari ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar Yusharifuddin Mohd Yusop mengesahkan pihaknya turut menerima dua laporan polis berhubung gerakan “Langkah Dubai” dan siasatan sedang dijalankan.

Pada 30 Disember lepas, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Datuk Ismail Yusop dilaporkan mendakwa “Langkah Dubai” timbul sewaktu percutian beberapa pemimpin pembangkang dan tokoh-tokoh daripada pihak kerajaan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu. – 9 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

What will we call for next? A ban on cheap cigarettes, tuak and kapcais? – Rocky Bru

While concerns over drug-laced vapes grow, a blanket ban could backfire by wiping out businesses, threatening jobs, pushing trade underground amid weak enforcement and open tank loopholes

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Related