Idea buka rumah pelacuran bertentangan undang-undang sivil, syariah

Datuk Mohd Na’im berkata, pelacuran merupakan jenayah berat dalam undang-undang Islam yang termasuk dalam kategori hudud

3:34 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pelacuran adalah jenayah berat di sisi undang-undang Islam yang termasuk dalam kategori hudud dan satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan [Akta 574].

Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, cadangan untuk membuka rumah pelacuran seperti dikemukakan aktor handalan, Datuk Rosyam Nor bertentangan dengan peruntukan undang-undang sivil dan syariah.

Menurutnya lagi, idea itu juga secara jelas bertentangan dengan prinsip-prinsip ajaran Islam dan Maqasid al-Syariah.

“Pelacuran dan zina adalah perbuatan yang melibatkan hubungan seksual di luar hubungan perkahwinan. Zina didefinisikan oleh Al-Sarkhasi dan Ibn ‘Abidin, dari mazhab Hanafi sebagai persetubuhan haram dengan perempuan hidup melalui vagina yang dilakukan dalam negara Islam, yang mana perempuan itu secara jelas bukanlah daripada isterinya yang sah.

“Definisi ini dilengkapkan lagi oleh Al-Zaila`i yang juga merupakan ulama’ mazhab Hanafi dengan menambahkan elemen kerelaan dan tanpa paksaan dalam definisi zina, iaitu, persetubuhan haram dengan perempuan hidup (bukan mayat), yang bukan di bawah pemilikannya (hamba), atau isterinya, secara sukarela dan tanpa paksaan, yang mana ia berlaku dalam negara Islam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Rosyam menerusi podcast atau audio siar, Hitam Putih Kehidupan yang dimuat naik ke TikTok Suhan Channel menyifatkan pusat pelacuran perlu ada untuk ‘kemudahan’ warga asing lelaki yang kebanyakannya meninggalkan isteri di negara mereka.

“Sekarang pendatang asing ada lebih kurang tiga juta yang bekerja di Malaysia. Isteri ditinggalkan.

“Namanya pun lelaki. Kalau tak nak, tak apa, fahamkan maksud saya? Tak keluarkan (hubungan kelamin dengan pasangan), dia nak tonjol kat mana?” katanya.

Rosyam berkata, perkara itu akan menjurus kepada perlakuan jenayah seperti rogol dan sebagainya.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, wanita yang melakukan kesalahan pelacuran boleh didakwa mengikut Seksyen 372, Seksyen 372A, Seksyen 372B dan Seksyen 373 Kanun Keseksaan.

Malah katanya, dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559] juga terdapat beberapa peruntukan berkaitan dengan kesalahan pelacuran.

“Antaranya, Subseksyen 21– pelacuran; Seksyen 22 – muncikari (seseorang yang bertindak sebagai orang tengah antara seorang perempuan dengan seorang lelaki bagi apa-apa maksud yang menyalahi Hukum Syarak); dan Seksyen 23 – persetubuhan luar nikah.

“Selain itu, di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 juga ada memperuntukkan kesalahan kepada mana-mana orang yang menganjurkan, mendorong atau menggalakkan orang lain untuk melakukan apa-apa maksiat sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 35 Akta 559,” katanya.

Justeru, beliau berkata, cadangan tersebut tidak boleh diterima sama sekali dan sewajarnya ditolak oleh segenap lapisan masyarakat.

“Dalam mencari penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi, kaedah fikah berikut sewajarnya dijadikan panduan. Kemudaratan itu tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan yang lain.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan polemik mahupun isu yang bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya. – 9 Januari, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

[UPDATED] Lazada’s Malaysian office not spared from major layoffs

Employees across various departments at Lazada Malaysia's office have allegedly been informed about an impending meeting with the company's human resources team in the next few days. 

Related