HEADLINES

Kebakaran kediaman Ngeh Koo Ham: ‘Beza pandangan, kepercayaan tak mewajarkan apa jua tindakan melampau’

PAS kutuk keras perbuatan khianat itu, berlawanan dengan prinsip asas kehidupan bermasyarakat

9:26 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Semua usaha mesti diambil bagi menyuraikan ketegangan yang mungkin berlaku akibat perbezaan-perbezaan pandangan dan kepercayaan dengan segera, adil dan bijaksana.

Demikian ditegaskan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan merujuk kepada kejadian kebakaran melibatkan kediaman Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham, semalam.

Malah katanya, PAS memandang serius dan mengutuk keras perbuatan khianat itu yang mengakibatkan kerosakan harta benda milik pemimpin berkenaan.

“Jika dilihat dari sudut mana pun, perbuatan sedemikian tidak boleh diterima sama sekali, bukan sahaja kerana bercanggah dengan undang-undang, tetapi juga berlawanan dengan prinsip asas kehidupan bermasyarakat yang aman dan harmoni.

“PAS percaya perbezaan pandangan dan kepercayaan tidak mewajarkan apa-apa juga tindakan yang melampaui batas undang-undang serta akhlak, terutamanya yang boleh mengancam nyawa serta keselamatan harta benda,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu katanya, semua pihak juga perlu lebih peka dan cermat terhadap penyuaraan apa-apa pandangan, pendirian atau cadangan yang boleh menyumbang kepada ketegangan serta suasana tidak harmoni dalam masyarakat dan berkemungkinan menjadi percikan api yang memulakan kebakaran lebih besar.

Tambahnya, PAS berharap Koo Ham dan keluarga terus bertenang dan tidak terlalu terkesan dengan insiden tersebut atas kesedaran bahawa beliau sentiasa memperoleh simpati dan sokongan moral semua rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, selain mendapat perlindungan undang-undang yang berkuat kuasa di negara ini.

Dalam pada itu, PAS Perak menyifatkan kenyataan Koo Ham mengaitkan kejadian kebakaran rumahnya dengan Perikatan Nasional (PN) sebagai melampau bagi meraih sentimen politik.

Pesuruhjayanya, Razman Zakaria berkata, tindakan itu juga dilihat mendahului siasatan polis dan tanda beliau tidak memberi kepercayaan penuh terhadap profesionalisme Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Membuat tuduhan untuk meraih sentimen politik dengan kejadian jenayah adalah bersifat melulu dan melampau. Tuduhan beliau (Koo Ham) seakan-akan menyambung tuduhan (seorang lagi pemimpin DAP) bahawa PAS adalah Taliban,” katanya dalam kenyataan.

Razman berkata, Koo Ham dilihat cuba menggambarkan imej buruk bukan hanya kepada PN tetapi juga Islam kerana dikaitkan dengan isu kebiadaban beliau mencampuri urusan Islam baru-baru ini.

“Kita menyeru beliau agar bertenang dalam menghadapi musibah dan tidak menunding jari kepada pihak lain. Sewajarnya beliau tidak membuat tuduhan yang boleh mengapi-apikan sentimen agama susulan kenyataan beliau sebelum ini.,” katanya.

Terdahulu Koo Ham yang juga Penasihat DAP Perak mengesyaki kejadian kebakaran rumahnya dipercayai disebabkan kenyataannya mengenai cadangan yang menyentuh hal ehwal Islam yang dibuat sebelum ini.

Dalam sidang medianya itu, beliau mendakwa terdapat pemimpin PN yang memutar belit kenyataan media itu sehingga mendatangkan kebencian melampau terhadapnya.

Awal pagi semalam, rumah Koo Ham di Ayer Tawar, Perak terbakar namun tiada mangsa dilaporkan cedera.

Kejadian itu dimuat naik di dalam Facebook Koo Ham yang memaklumkan kebakaran berkenaan berjaya dikawal.

Justeru polis sedang mengesan individu yang terlibat dalam kes kebakaran itu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan (khianat dengan api) dan siasatan akan dijalankan dari pelbagai sudut. – 11 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Solat Jumaat di pusat beli-belah: Zulkifli galak negeri lain turut serta

Menteri Agama Dr Zulkifli Hasan mengalu‑alukan negeri lain mencontohi Wilayah Persekutuan yang sudah mula laksana solat Jumaat di pusat beli‑belah, sambil merancang perluasan ke terminal, lapangan terbang dan R&R lebuh raya

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Jana Wibawa: Muhyiddin’s trial continues as appeals court rejects bid to reinstate acquittal

Five-judge panel dismisses Bersatu president’s application to review findings which led to four charges related to RM232.5 mil in bribes being reinstated in Feb

Related