Syarikat pengendali umrah, 2 pengarah berdepan 63 pertuduhan gagal patuhi perintah award Tribunal Pengguna

Emraz Travel & Tours Sdn Bhd, yang diwakili pengarahnya, Datuk Dr Zulkarnain Endut dan isteri, Datin Mazuin Mustafa mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan

6:59 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Syarikat pengendali pakej umrah dan dua pengarahnya didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan gagal mematuhi perintah award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) supaya membayar balik tuntutan sebanyak RM589,031 kepada 21 mangsa, tahun lalu.

Syarikat Emraz Travel & Tours Sdn Bhd, yang diwakili pengarahnya, Datuk Dr Zulkarnain Endut, 43, dan isteri, Datin Mazuin Mustafa, 43, selaku orang kena saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-63, syarikat tersebut, Zulkarnain dan Mazuin sebagai OKS pertama, kedua serta ketiga masing-masing dituduh atas 21 pertuduhan gagal mematuhi award TTPM yang memerintahkan supaya membayar RM589,031 kepada 21 mangsa yang menuntut wang itu.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat TTPM di sini dan pertuduhan mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 itu membawa hukuman di bawah Seksyen dan akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sophian Zakaria, manakala syarikat itu dan dua pengarahnya diwakili Peguam Datuk Hanif Hassan.

Terdahulu, Mohd Sophian memohon mahkamah memberikan ikat jamin RM2,000 bagi setiap satu pertuduhan selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

“Kedua-dua OKS juga perlu melapor diri di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sekali setiap bulan,” katanya.

Bagaimanapun, peguam Hanif yang mewakili pasangan suami isteri itu membantah dengan menegaskan bahawa jumlah ikat jamin RM2,000 bagi setiap satu pertuduhan itu membebankan anak guamnya.

Selepas mendengar makluman dan hujah kedua-dua pihak, Majistret Irza Zulaikha membenarkan Zulkarnain dan Mazuin diikat jamin RM6,300 bagi kedua-dua OKS selain syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Pada 8 Julai tahun lepas, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dilaporkan berkata lesen syarikat Emraz Travel & Tours Sdn Bhd digantung selama enam bulan berkuat kuasa mulai 10 Julai 2023 hingga 9 Januari 2024. 

Pada 29 November lalu, media melaporkan pihak Polis Diraja Malaysia telah menerima 399 laporan berhubung dakwaan kes penipuan pakej umrah melibatkan syarikat Emraz Travel & Tours Sdn Bhd dengan kerugian dianggarkan bernilai RM14.2 juta sejak Januari 2023. – 15 Januari, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Dangdut star Baby Shima, lampoonist Zunar unite to expose religious hypocrisy in new single

In an unexpected collaboration, local dangdut star Baby Shima and political cartoonist Zunar have teamed up for a new music single titled Cari-Cari Salah (Finding Faults).

Related