Mogok Grab jadi ‘pentas’ politik dengan kehadiran Wan Ahmad Fayhsal

Wan Ahmad Fayhsal dan media rasmi PAS, Harakah muncul ketika mogok yang diadakan

8:58 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Mogok yang dianjurkan oleh sekumpulan kecil penghantar atau rider Grab Malaysia hari ini bertukar menjadi pentas politik dengan kehadiran Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan media rasmi PAS, Harakah.

Mereka hadir ketika kira-kira 100 orang berkumpul di ibu pejabat syarikat berkenaan di Petaling Jaya, tengahari ini, sekali gus menunjukkan bahawa mogok tersebut bermotifkan politik.

Bagaimanapun, Wan Fayhsal yang juga Ketua Pemuda Bersatu dan Ahli Parlimen Machang menafikan menganjurkan mogok berkenaan sebaliknya mendakwa beliau diajak untuk menyertainya oleh rider yang terlibat.

“Saya dijemput oleh rider,” katanya kepada Scoop ketika ditanya sama ada beliau yang mengetuai himpunan berkenaan.

“Saya datang bagi menunjukkan solidariti ke atas keputusan tidak adil yang dibuat oleh Grab.”

Wan Fayhsal berkata, aduan mengenai bayaran yang diluahkan oleh rider Grab akan dibawa ke Dewan Rakyat, Februari ini.

“Kami (Ahli Parlimen) akan mendesak kerajaan untuk bertindak demi kebajikan pemandu dan penghantar makanan.

“Ia juga bagi memastikan masa depan rider dan pemandu (Grab) yang membantu rakyat Malaysia dari subuh hingga senja.’’

Beliau turut menggesa rider untuk memaklumkan kepada Ahli Parlimen jika terdapat mana-mana pihak atau individu yang melayan mereka secara tidak adil.

Timbalan Presiden Penghantar, Abdul Hakim Abdul Rani telah menyertai mogok hari ini di ibu pejabat Grab, di Petaling Jaya. – Gambar Scoop/19 Januari, 2024

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Abdul Hakim Abdul Rani, 43, telah menyampaikan suara hati penghantar tersebut kepada wakil Grab.

Ia termasuk cadangan supaya bayaran dinaikkan daripada RM5 untuk 2km pertama di Lembah Klang dan RM4.50 untuk kawasan di luar Lembah Klang, mempercepatkan proses membatalkan tempahan tunai serta menaikkan bonus penghantaran.

Abdul Hakim adalah antara segelintir rider yang mengambil bahagian dalam mogok hari ini bagi menuntut bayaran yang lebih baik.

Ia diadakan walaupun Grab Malaysia telah menyemak semula struktur pendapatan baharu, termasuk pampasan adil kepada penunggang p-hailing.

Semalam salah seorang penghantar, Mohd Hakimi Ahmad, 35, telah menggesa penunggang lain untuk berfikir panjang sebelum mengambil bahagian dalam mogok terbabit.

“Mengenai potongan tambang ini tidak dinafikan ada rider rasa marah, namun Grab memberikan bayaran basic (asas) mingguan maknanya untuk penghantaran waktu puncak dan ini membolehkan rider untuk kejar atau capai sasaran gaji mereka.

“Jadi tak boleh nak salahkan Grab, kalau tambang asas dah kurang kepada RM4, mereka (rider) perlu lebih rajin, lihat kawasan pasaran yang tinggi permintaan.

“Lagipun bukan semua setuju untuk mengadakan protes atau mogok, banyak yang perlu difikirkan, jadi dinasihatkan rakan penunggang kalau boleh lihat dulu seminggu dua ini, kerja keras dan buat perbandingan pendapatan sebelum serta selepas penstrukturan, lihat sama ada kenaikan atau penurunan pendapatan,” katanya semalam.

Grab Malaysia baru-baru ini telah menyusun semula rangka kerja bayaran dan bonusnya untuk memastikan pampasan adil kepada rider serta pemandu p-hailing yang menerima tempahan yang memerlukan lebih banyak masa dan usaha.

Penstrukturan semula itu, yang berkuatkuasa Rabu, berikutan maklum balas mengenai masa menunggu lebih lama di kedai bagi rider penghantaran, dan lokasi pengambilan selanjutnya untuk pemandu p-hailing.

Grab juga menyenaraikan beberapa penambahbaikan baru-baru ini untuk memaksimumkan pendapatan pemandu dan rider, termasuk 20 hingga 30% bonus pengambilan untuk lokasi jauh dan pampasan lebih baik bagi perkhidmatan semasa tempoh permintaan tinggi.

Meskipun bayaran asas telah disemak semula, insentif telah dinaikkan untuk penghantaran waktu puncak, pengambilan jarak jauh dan tambahan masa pengambilan.

Sehingga suku pertama 2023, 97% rakan p-hailing Grab di seluruh Asia Tenggara memperoleh pendapatan melebihi penanda aras gaji minimum di negara masing-masing.

Di sebalik pelarasan ini, ada penunggang Grab yang meluahkan ketidakpuasan dan menggalakkan yang lain untuk memboikot syarikat itu.

Poster telah diedarkan semalam mengenai mogok terbabit di tujuh kawasan di Lembah Klang, dengan rider berkumpul di ibu pejabat Grab di Petaling Jaya hari ini.

Bagaimanapun difahamkan, mereka yang mengambil bahagian kebanyakannya adalah rider sambilan yang tidak semestinya aktif dalam platform Grab. – 19 Januari, 2024

Topics

Hangat

Saya juga manusia, punya hati: Ning Baizura sedih, terguris diri digelar Kristian, keluarga dikritik

Jelas Ning, beliau kecewa kerana daripada satu perkara kecil, ia diperbesarkan segelintir netizen, termasuk menyerang Instagramnya dengan kata-kata hinaan

Iranian President Ebrahim Raisi confirmed dead as burnt helicopter wreckage found

No survivors have been found since crashed helicopter site was discovered, says Iranian Red Crescent Society

Two bullets, profane letter in my mailbox: Teresa Kok lodges report on death threat

Seputeh MP shares her distress after discovering threatening note while retrieving her mail yesterday; police have inspected the scene at her residence

Related