Imigresen jalankan 870 operasi, tahan 4,026 pendatang tanpa izin sejak 1 Januari

Dalam tempoh sama, pihak Imigresen juga memeriksa sejumlah 9,169 warga asing dan mengusir 1,497 pendatang tanpa izin pulang

11:33 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen menahan 4,026 pendatang tanpa izin dalam 870 operasi penguatkuasaan di seluruh negara dalam tempoh 18 hari pertama tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata dalam tempoh sama, pihaknya juga memeriksa sejumlah 9,169 warga asing dan mengusir 1,497 pendatang tanpa izin pulang ke negara masing-masing, serta menahan 42 majikan kerana menggajikan pendatang tanpa izin.

“Selain melakukan operasi penguatkuasaan terhadap pendatang tanpa izin, pihak kami turut memberi fokus penguatkuasaan terhadap majikan yang menggajikan pendatang tanpa izin sebagai pekerja.

“Majikan yang didapati menggajikan pendatang tanpa izin boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Imigresen termasuk mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya pada sidang media selepas operasi penguatkuasaan di Pangsapuri Baiduri Taman Tasik Kesuma Beranang, Semenyih dekat sini tengah malam tadi.

Mengulas mengenai operasi itu, Ruslin berkata lokasi terbabit merupakan antara 220 hotspot atau kawasan panas pendatang tanpa izin yang berada dalam radar jabatan berkenaan.

Beliau berkata operasi bermula pada 12 tengah malam itu susulan aduan awam yang bimbang dengan kebanjiran warga asing di kawasan berkenaan yang menjadi pilihan berikutan kadar sewa rendah.

“Siasatan kami mendapati kira-kira 80 peratus penduduk pangsapuri ini merupakan warga asing dan dapat dilihat mereka telah membina komuniti di sini dengan menubuhkan perniagaan kedai makan dan kedai runcit,” katanya.

Menurut Ruslin, sebanyak 752 warga asing diperiksa dalam operasi itu dan 561 pendatang tanpa izin yang ditahan terdiri daripada warga Bangladesh sejumlah 205 orang, Myanmar (200), Nepal (65), Indonesia (43), Pakistan (38), Sri Lanka (tiga), masing-masing dua warga Kemboja, India dan Sierra Leone, serta seorang warga Cameroon.

“Kesemua mereka yang berusia lingkungan tiga bulan hingga 55 tahun itu ditahan atas kesalahan tiada dokumen perjalanan dan tinggal lebih masa. Semua yang ditahan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Semenyih bagi siasatan lanjut dan proses dokumentasi,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan terus menjalankan operasi penguatkuasaan di seluruh negara bagi membanteras kebanjiran pendatang tanpa izin. – 20 Januari, 2024

Topics

Hangat

LA County Coroner’s Office defers Friends star Matthew Perry’s cause of death

Authorities said they are awaiting toxicology results and further investigation with law enforcement, which could take weeks to complete, reported TMZ.

Iranian President Ebrahim Raisi confirmed dead as burnt helicopter wreckage found

No survivors have been found since crashed helicopter site was discovered, says Iranian Red Crescent Society

Saya juga manusia, punya hati: Ning Baizura sedih, terguris diri digelar Kristian, keluarga dikritik

Jelas Ning, beliau kecewa kerana daripada satu perkara kecil, ia diperbesarkan segelintir netizen, termasuk menyerang Instagramnya dengan kata-kata hinaan

Related