9 negara termasuk UK hentikan dana untuk UNRWA

Pemberhentian itu susulan dakwaan Israel bahawa serangan 7 Oktober lalu turut membabitkan kakitangan agensi terbabit

8:58 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Beberapa negara termasuk United Kingdom (UK) menghentikan sementara pembiayaan untuk Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).

Ia berlaku selepas agensi itu mengumumkan pemecatan beberapa kakitangannya yang didakwa terlibat dalam serangan pada 7 Oktober lalu.

Kerajaan UK berkata, pihaknya “terkejut” dengan dakwaan Israel.

Amerika Syarikat (AS), Australia, Itali, Kanada, Finland, Belanda, Switzerland dan Jerman turut menggantung pembiayaan tambahan kepada agensi tersebut.

Diwujudkan pada 1949, UNRWA, adalah agensi PBB terbesar yang beroperasi di Gaza.

Ia menyediakan penjagaan kesihatan, pendidikan dan bantuan kemanusiaan lain kepada rakyat Palestin di Gaza, Tebing Barat, Jordan, Lubnan dan Syria.

Agensi itu mempunyai 13,000 kakitangan di Gaza.

Sejak Israel memulakan serangannya sebagai tindak balas kepada serangan 7 Oktober, UNRWA menggunakan kemudahannya di seluruh Gaza untuk melindungi ratusan ribu orang awam yang kehilangan tempat tinggal.

UNRWA sudah mengarahkan siasatan terhadap maklumat yang diberikan oleh Israel.

Israel sudah sekian lama menuduh pelbagai agensi di bawah PBB termasuk UNRWA sebagai berat sebelah dan juga antisemitisme.

Bekas ketua jurucakap pertubuhan itu, Christopher Gunness berkata, penggantungan bantuan kepada UNRWA adalah tidak seimbang dan hanya boleh menyebabkan penderitaan berlarutan di Gaza.

Gunness percaya UNRWA menunjukkan dasar toleransi sifarnya dengan memecat kakitangan sebelum siasatan dalaman terhadap mereka selesai.

“Sejuta orang yang kehilangan tempat tinggal kini berlindung di dalam dan sekitar bangunan UNRWA. Merekalah yang akan menderita akibat keputusan ini,” katanya.

Kelmarin, seorang penasihat kepada Perdana Menteri Israel, Mark Regev memberitahu BBC bahawa serangan 7 Oktober lalu turut membabitkan kakitangan UNRWA.

Regev berkata, terdapat maklumat yang menunjukkan guru yang bekerja di sekolah UNRWA “meraikan secara terbuka” serangan 7 Oktober ke atas Israel.

Dia juga merujuk kepada seorang tebusan Israel semasa dibebaskan mendakwa “ditahan di rumah seseorang yang bekerja untuk UNRWA”.

“Mereka mempunyai kesatuan yang dikawal oleh Hamas dan saya rasa sudah tiba masanya PBB menyiasat hubungan antara UNRWA dan Hamas,” katanya. – 28 Januari, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Hartalega Holdings falls prey to ransomware attack, internal systems down

According to an urgent notice sent out by its IT team to personnel in the Bursa-listed firm’s wholly-owned subsidiaries Hartalega NGC Sdn Bhd and Hartalega Sdn Bhd, a number of applications and softwares are currently inaccessible due to the attack.  

Related