HEADLINES

Hapus pencen bukan nak jejaskan Melayu: PM

Anwar Ibrahim menegaskan, langkah itu telah dikaji sejak puluhan tahun bagi mengelakkan negara berisiko muflis dan memberi masalah kepada generasi akan datang

8:16 PM MYT

 

IPOH – Kerajaan menyangkal dakwaan langkah mewujudkan pengambilan baharu penjawat awam secara tetap tetapi tidak berpencen akan menjejaskan nasib orang Melayu yang merupakan majoriti dalam penjawat awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu sebaliknya telah dikaji sejak lama dulu di mana mesti ada rancangan baharu untuk mengganti skim itu bagi mengelakkan negara daripada risiko muflis dan memberi masalah kepada generasi akan datang.

“… malah sudah puluhan tahun dikaji, kalau tak silap saya 90-an dulu sudah dikaji, tetapi tidak ada tekad politik untuk buat (laksanakan).

“Pembangkang cakap hapuskan pencen akan seksa orang Melayu, (dakwa) ini semua cadangan DAP, dan ini yang terus dikemukakan dan tidak berbicara soal fakta kemudian guna agama, tunggang agama,” katanya berucap ketika perasmian penutup pada Konvensyen Kerajaan Perpaduan Perak di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN); Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Pengerusi BN Perak; Pengerusi Pakatan Harapan Perak, Datuk Seri Mujahid Yusof dan Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, sistem pencen berkenaan juga tidak lagi diamalkan oleh sebahagian negara-negara maju.

Menurut Perdana Menteri, sistem pencen sudah tidak lagi diamalkan oleh sebahagian negara-negara maju, malah ahli-ahli politik perlu menerima kenyataan selepas ini mereka juga tidak mempunyai pencen. – Gambar Facebook Zahid Hamidi, 28 Januari, 2024

Anwar turut berkata, ahli-ahli politik perlu menerima kenyataan selepas ini mereka juga tidak mempunyai pencen.

Ia termasuk mereka yang bakal menjadi calon untuk bertanding di mana-mana kerusi pada pilihan raya akan datang.

“Jika selepas ini, mereka tidak mahu bertanding PRU (Pilihan Raya Umum) kerana tiada lagi pencen, itu terpulang kepada mereka,”katanya.

Terdahulu, kabinet bersetuju menetapkan syarat pengambilan bahawa penjawat awam baharu berstatus tetap tidak lagi menerima pencen.

Bagaimanapun, ia tidak akan menjejaskan status penjawat awam sedia ada namun bagi penjawat awam lantikan baharu perlu membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Dalam masa sama beliau sekali lagi mengulangi komitmen kerajaan akan menaikkan kadar gaji penjawat awam mengikut kemampuan kerajaan.

“Telah 12 tahun penjawat awam kerja tidak ada penilaian, tidak ada komitmen untuk perbaiki kadar upah dan gaji mereka.

Kita telah putuskan walaupun ada kekangan kewangan perkara ini (naikkan gaji penjawat awam) kita tidak boleh tunggu. Dengan kos sara hidup dan gaji yang tak naik kerajaan tetap ada komitmen tingkatkan kadar upah penjawat awam di negara kita,” katanya. – 28 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Govt has settled RM42bil of 1MDB debt, total obligations exceed RM50bil: Anwar

Anwar reveals over RM9 billion in remaining debt, with government funds covering the shortfall

Solat Jumaat di pusat beli-belah: Zulkifli galak negeri lain turut serta

Menteri Agama Dr Zulkifli Hasan mengalu‑alukan negeri lain mencontohi Wilayah Persekutuan yang sudah mula laksana solat Jumaat di pusat beli‑belah, sambil merancang perluasan ke terminal, lapangan terbang dan R&R lebuh raya

Related