‘Tuduhan saya cabar kepentingan Melayu, Bumiputera tidak masuk akal, jangan jadikan isu’: Kor Ming

Cadangan mencalonkan Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan Unesco bukan ‘zero sum game’ atau kepentingan pihak tertentu semata-mata

6:01 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Segala tuduhan mengatakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mencabar kepentingan Melayu dan Bumiputra di negara ini, disifatkan sebagai tidak masuk akal.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, tuduhan berbangkit susulan rancangan untuk mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) itu juga tidak logik kerana ia hanya di peringkat cadangan.

“Saya menyambut baik cadangan daripada pelbagai pihak untuk mencalonkan kampung Melayu atau mana-mana tempat berpotensi dan bersejarah sebagai tapak warisan Unesco.

“Sepertimana disebut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, cadangan mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai tapak warisan Unesco, masih dalam peringkat cadangan dan tidak seharus dijadikan isu perkauman,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau berkata, cadangan mencalonkan Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan Unesco bukan ‘zero sum game’ atau kepentingan pihak tertentu semata-mata.

Katanya, dalam melaksanakan tanggungjawabnya, KPKT tetap mendukung prinsip Malaysia Madani yang menekankan enam nilai penting, iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan sebagai tonggak dalam hala tuju Malaysia menjadi negara bangsa maju serta sejahtera.

Malah, tegasnya, beliau sudah banyak kali menekankan bahawa falsafah kepimpinan KPKT adalah berlandaskan Rukun Negara.

“Saya berazam dan berhasrat untuk melaksanakan ‘walk the talk’ (melaksanakan apa dikatakan).

“Action speaks louder than words (tindakan lebih mantap daripada sekadar bercakap). Sepanjang 2023, banyak inisiatif mesra rakyat tanpa mengira kaum, agama dan bangsa sudah dilaksanakan KPKT,” katanya.

Kor Ming berkata, sebagai contoh, bagi memelihara identiti bandar diraja sebagai lambang kedaulatan negara, KPKT memperkenalkan Garis Panduan Perancangan Pembangunan (GPP) Bandar Diraja, di mana ia terpakai untuk sembilan bandar diraja di Semenanjung Malaysia, sebagai panduan pembangunan yang merangkumi aspek warisan, identiti, ekonomi dan pelancongan.

Ujarnya, bagi memberi pengiktirafan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dapat memenuhi kehendak kerajaan dan rakyat serta meningkatkan pertumbuhan ekonomi setempat, KPKT bertindak pantas dalam proses permohonan naik taraf status PBT.

Pada 2023, katanya, dua PBT dinaik taraf status, iaitu Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja (MPPBD) dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

“Oleh itu, segala tuduhan berkaitan saya atau kerajaan mencabar kepentingan orang Melayu dan Bumiputra adalah bagai rantai besi dimakan bubuk, ia tidak masuk akal dan tidak benar,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, Kor Ming berkata, KPKT sedang merangka rancangan untuk mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco, bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah penempatan perkampungan diasaskan sejak 76 tahun lalu itu.

Pengiktirafan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Unesco membolehkan kampung baru diangkat sebagai warisan kebudayaan Malaysia.

Jelasnya, perkara itu akan dibincangkan lebih terperinci dengan kerajaan Selangor.

Pada Jun tahun lalu, Kor Ming dikatakan turut mencalonkan tujuh kampung baru di Pulau Pinang, Selangor, Perak, Melaka dan Johor sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco.

Rancangan Kor Ming itu mencetuskan ketidakpuasan hati beberapa pihak, termasuk gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam (Nasionalis) yang mendesak kerajaan memecat pemimpin terbabit kerana didakwa mencadangkan isu yang boleh menimbulkan ketidakharmonian kaum di negara ini.

Presiden Nasionalis, Aminuddin Yahaya berkata, pihaknya membantah cadangan Kor Ming mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco yang didakwa berbaur perkauman.

Manakala, Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), Datuk Mohd Foad Mat Isa menyelar cadangan Kor Ming itu dengan alasan senada bahawa ia menyentuh isu perkauman dan cuba memanipulasi fakta sejarah, selain memberi kesan negatif terhadap pembangunan negeri Selangor pada masa akan datang.

“Kami melihat isu ini sebagai satu tindakan yang tidak matang, bersifat eksklusif dan terpilih sedangkan umum mengetahui sejarah peradaban Malaysia telah wujud berabad lamanya.

“Tanah ini (Malaysia) juga didiami bangsa Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak, namun tindakan terbabit seolah-olah terdapat agenda tersembunyi yang cuba direncanakan pihak tertentu dalam mempertahankan perkampungan Cina,” katanya.

Pengarah dan penerbit drama, Michael Ang menerusi Instagram, turut mengkritik kenyataan Kor Ming dan mempersoalkan kewajaran pengiktirafan perkampungan itu sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco.

Michael berkata, ia tidak wajar memandangkan Kampung Baru Cina berstatus kurang daripada 100 tahun.

Dalam hantaran sama, dia turut meminta semua pihak untuk berhenti membangkitkan isu seumpama itu yang boleh mencetuskan pergaduhan.

“Dah dah lah benda macam ni boleh buat orang gaduh. Ada banyak lagi benda boleh buat, cuba buat kampung baru Malaysia,” katanya. – 8 Februari, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Lazada’s Malaysian office not spared from major layoffs

Employees across various departments at Lazada Malaysia's office have allegedly been informed about an impending meeting with the company's human resources team in the next few days. 

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Related