ATM akan rekrut ‘hacker’ untuk hadapi perang siber

Matlamat penubuhan pasukan baharu itu bagi memperkukuh sistem kawalan dan pemantauan di perairan dan sempadan negara

5:01 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan merekrut penggodam komputer atau ‘hackers’ bagi memperkuat pasukan keselamatan dan ketenteraan dalam menghadapi sebarang perang siber di masa akan datang.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, negara perlu bergerak ke hadapan dan tidak menafikan kepentingan penggodam serta penggunaan dron sebagai aset baharu ketenteraan.

“Penggodaman serta serangan siber hasil operasi atau kegiatan yang disebut ‘hacktivist’ adalah sesuatu yang berisiko memberi impak besar kepada keselamatan dan pertahanan sesebuah negara.

“Kita tak boleh elakkan keperluan teknologi IT dan AI (Artificial Intelligence) dan ia akan menjadi satu trend yang akan dilaksanakan pasukan tentera seperti yang telah dijalankan negara jiran, Singapura.

“Kita memang akan merekrut angkatan tentera yang berkebolehan menjadi hackers (penggodam) dan sebagainya. Dia ada uniform sendiri, pasukan dan sebagainya. Perang masa depan akan lihat daripada sistem saja dan disebabkan itu kita kena kaji supaya tidak ketinggalan,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Kick-Off Pelancaran Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan (KPP) di Wisma Perwira ATM, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak.

Menurut Khaled, matlamat penubuhan pasukan baharu itu bagi memperkukuh sistem kawalan dan pemantauan di perairan dan sempadan negara dari sebarang ancaman sindiket penyeludupan termasuk penggunaan pasukan yang mahir mengendalikan teknologi dron.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin (dua, kiri) ketika merasmikan Majlis Kick-Off Pelancaran Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan (KPP) di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur hari ini. – Alif Omar/Scoop, 13 Februari, 2024

“Kita berjiran dengan banyak negara dan kita kena lihat dron yang masuk. Kita difahamkan sekarang penyeludup mereka memang pakai dron, dia tahu di mana (pasukan keselamatan), di mana operasi kita serta anggota kita, jadi dia tak akan mendarat di kawasan itu.

“Sebab itu mereka masih boleh mendarat (menyeludup) sebab dia (pantau) pakai dron. Jadi bagaimana kita boleh lumpuhkan dron supaya tindakan kita lebih berkesan daripada mereka,” katanya.

KPP merupakan satu dokumen terbuka dasar pertahanan negara yang telah diluluskan di Parlimen pada 2 Disember 2019.

Dokumen ini merencana hala tuju pertahanan negara bagi tempoh 10 tahun bermula dari 2021 sehingga 2030 iaitu merangkumi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan RMK13.

Sebagai KPP Malaysia yang pertama, kertas ini menerangkan pendirian kerajaan berkaitan pertahanan negara, membentangkan perspektif strategik yang mempengaruhi keselamatan negara dan menggariskan satu Kerangka Pertahanan Negara bagi memastikan Malaysia kekal selamat, berdaulat dan makmur. – 13 Februari, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Casino a practical source of charity funds, no threat to faith, Tawfik Ismail tells Johor MB

Son of Tun Dr Ismail Abdul Rahman cites work of Noah Foundation using profits from Genting

Zus Coffee in hot water over ‘one-off activity’ with under-boycott Adidas

Coffee chain company issues apology and says it was not a collaboration, vowing to be more careful and asserting it 'unequivocally condemns any acts of violence against humanity'

Related