◉ HEADLINES

Polis kenal pasti pemilik tiga akaun media sosial kes ugutan Nik Elin Zurina

Ia susulan kerjasama yang dilakukan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengenal pasti pemilik akaun sosial media terbabit

1:14 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Polis telah mengenal pasti identiti pemilik tiga akaun media sosial yang dipercayai mempunyai kaitan berhubung ugutan terhadap peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata ia susulan kerjasama yang dilakukan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengenal pasti pemilik akaun sosial media terbabit.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini, Allaudeen berkata Nik Elin Zurina membuat tiga laporan pada Ogos tahun lepas dan pihak polis membuka tiga kertas siasatan. 

“Satu kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) beberapa minggu lepas untuk mendapatkan arahan lanjut, manakala dua lagi masih dalam siasatan dan akan dilengkapkan dalam masa terdekat.

“DPP telah memberi arahan tertentu. Belum ada sebarang tangkapan dilakukan ketika ini. Belum ada dakwaan,” katanya.

Pada Sabtu, Nik Elin Zurina memaklumkan menerima beberapa ugutan bunuh.

Ahad lepas, polis mengesahkan menerima tiga laporan daripada Nik Elin Zurina berhubung ugutan terhadapnya susulan tindakannya mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Allaudeen dilaporkan berkata tiga laporan itu disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mengenai siasatan berhubung kebakaran lima unit rumah di Flat Sri Sabah, Cheras, beliau berkata polis tidak mengesan sebarang unsur jenayah dan siasatan lanjut diserahkan sepenuhnya kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Hal itu kita serahkan kepada pihak bomba untuk siasat. Setakat ini, tiada unsur jenayah dikenal pasti dan jika ada, pihak bomba akan edar pada kita nanti,” katanya.

Sebanyak lima unit rumah di tingkat 17, Blok 70, Flat Sri Sabah, Cheras, musnah dalam kebakaran Ahad lepas dipercayai berpunca daripada masalah pendawaian elektrik.

Pengarah JBPM Kuala Lumpur Muhammad Salleh Abdul berkata siasatan forensik mengesahkan kebakaran disebabkan masalah elektrik dan ia tertumpu pada distribution board. – 14 Februari, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

Malaysia pulls the plug on Kuwaiti Hornet deal after years of turbulence

RMAF walks away from costly, outdated aircraft amid rising concerns over integration, support, and long-term value

More than 100 Foodpanda riders protest over low wages at company headquarters

New Google Maps-based system forces riders to make more deliveries to make ends meet

◉ Related