Ismanira rai hari lahir Zayn Rayyan di pusara

Sekiranya masih hidup, Zayn Rayyan sepatutnya menginjak usia tujuh tahun semalam

9:57 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – ‘Selamat hari lahir kepada anak sulung saya, anak lelaki baik saya yang berusia 7 tahun hari ini! (22 Februari 2017).’

Demikian ucapan hari lahir Ismanira Abdul Manaf kepada anak istimewanya, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang ditemui meninggal dunia dipercayai dibunuh pada 6 Disember lalu menerusi perkongsian di Instagram, awal pagi tadi.

Ismanira turut berkongsi sebuah video memaparkan dia bersama suami dan juga anak kedua mereka meraikan sambutan hari lahir Zayn di pusaranya semalam.

Dia turut memuatnaik gambar kek hari jadi Zayn bertemakan dinosaur.

Menerusi perkongsian tersebut, ibu kepada dua anak itu mendedahkan kehidupannya sedikit suram sejak pemergian Zayn.

Malah, katanya, dia sentiasa merindui Zayn akan akan menangis setiap kali terkenangkan anaknya itu.

“Kita akan bertemu lagi anakku. Hari-hari kelihatan sedikit gelap sejak kita berpisah, namun jauh di lubuk hatiku kamu sentiasa ada, sebab pintu kenangan, tidak akan pernah tertutup.

“Aku merinduimu lebih daripada sesiapapun yang tahu. Sehingga kita berjumpa lagi nak. Hati saya hancur kerana kehilangan awak.

“Dan awak tidak pergi bersendirian kerana sebahagian daripada saya pergi bersama awak sejak hari Tuhan memanggil awak pulang, berjuta kali saya memikirkan awak, berjuta kali saya menangis,” katanya.

Meskipun reda dengan pemergian Zayn, Ismanira berkata, kenangan bersama anaknya itu akan sentiasa tersemat di ingatan mereka.

“Malaikat kecilku di syurga, cahayamu masih bersinar terang di hati kami. Kami akan sentiasa mengingati cinta dan kegembiraan yang kau bawa ke dalam hidup kami, selamanya.

“Sehingga bertemu lagi sayang! Saya sayang awak sangat-sangat anak sulung saya,” katanya.

Terdahulu, Zayn Rayyan, 6, ditemukan meninggal dunia di saliran air kira-kira 200 meter dari Apartmen Idaman, Damansara Damai di Petaling Jaya pada 6 Disember lalu selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Mangsa kemudiannya disahkan dibunuh berdasarkan hasil bedah siasat yang menemui kesan kecederaan pada leher dan badan.

Setakat ini, polis belum menemui petunjuk kukuh bagi mencari pembunuh Zayn Rayyan dengan operasi mencari bukti masih diteruskan di sekitar Apartmen Idaman dan tiada mana-mana individu boleh dikaitkan dalam kes bunuh kanak-kanak berkenaan.

Bagaimanapun Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah menghentikan siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme itu.

Menurutnya, walaupun berdepan dengan cabaran termasuk dalam mengesan lokasi utama kes pembunuhan itu, pihak polis tidak berputus asa dan meneliti setiap maklumat diterima, untuk menyelesaikan kes itu.

Beliau berkata, setiap kepakaran yang ada di jabatan berkenaan termasuk dalam aspek forensik, telah dikerah bagi memastikan penjenayah yang bertanggungjawab dapat diheret ke muka pengadilan.

Mohd Shuhaily berkata, pihaknya menjangkakan mungkin akan mendapat maklumat baharu, selepas Timbalan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Datuk Seri A Thaiveegan menawarkan ganjaran RM20,000, kepada individu yang dapat menyalurkan maklumat sehingga penjenah terlibat diberkas. – 23 Februari 2024

Topics

Hangat

Saya juga manusia, punya hati: Ning Baizura sedih, terguris diri digelar Kristian, keluarga dikritik

Jelas Ning, beliau kecewa kerana daripada satu perkara kecil, ia diperbesarkan segelintir netizen, termasuk menyerang Instagramnya dengan kata-kata hinaan

Iranian President Ebrahim Raisi confirmed dead as burnt helicopter wreckage found

No survivors have been found since crashed helicopter site was discovered, says Iranian Red Crescent Society

Two bullets, profane letter in my mailbox: Teresa Kok lodges report on death threat

Seputeh MP shares her distress after discovering threatening note while retrieving her mail yesterday; police have inspected the scene at her residence

Related