Memang Menteri ada kuasa, tetapi adakah keputusan King Sing tindakan terbaik?: Cuepacs

Tindakan seperti diambil King Sing boleh menimbulkan suasana tidak harmoni antara anggota pentadbiran dan penjawat awam

5:48 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Walaupun kuasa melantik Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) terletak di tangan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, beliau tidak wajar menjadikannya sebagai ‘tiket’ untuk membuat keputusan secara mengejut atau mengeluarkan notis dalam tempoh singkat.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, ia termasuk dalam isu terkini yang menyaksikan King Sing membuat keputusan menurunkan pangkat Ketua Pengarah LPPM, Datuk Ammar Abd Ghapar ke jawatan Timbalan Ketua Pengarah.

“Kita faham sebagai seorang menteri beliau punyai kuasa tetapi adakah tindakan itu dilihat jalan terbaik dalam merungkai isu dihadapi.

“Apatah lagi beliau sering kali kelihatan sebagai seorang figura yang kerap terpalit dengan isu berkisar mengenai pelanggaran kepada peraturan yang ada dalam sistem pentadbiran kerajaan semasa,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, tindakan seperti diambil King Sing boleh menimbulkan suasana tidak harmoni antara anggota pentadbiran dan penjawat awam.

Menurutnya, suasana keharmonian dan kebersamaan itu perlu dijaga, apatah lagi dengan usaha untuk mencapai sasaran ketibaan 27.3 juta pelancong asing bagi tahun ini, ia memerlukan kerja berpasukan.

Kebersamaan antara anggota pentadbiran serta penjawat awam, katanya, wajar diharmonikan dengan suasana semak dan imbang agar sistem pentadbiran kerajaan mencapai matlamat serta memberi manfaat kepada negara dan rakyat.

Tindakan drastik yang diambil oleh Tiong King Sing dibimbangi akan memberi imej negatif terhadap kerajaan. – Gambar Bernama, 24 Februari, 2024

“Bagaimana boleh wujud keharmonian jika isu kebersamaan ini sering kali dipertingkahkan kedua-dua pihak.

“Anggota pentadbiran datang dan pergi yang tinggal adalah penjawat awam, maka pengalaman penjawat awam serta idealisme atau pendekatan yang hendak dibawa anggota pentadbiran yang silih berganti, perlu digabung jalin dengan sebaik mungkin bagi menghasilkan mutu dan kualiti perkhidmatan terbaik buat sesebuah organisasi dalam memberikan khidmat bakti kepada negara,” katanya.

Adnan berkata, keadaan yang wujud seperti isu penurunan pangkat Ammar itu dapat dielakkan, jika kedua-dua pihak mengambil pendekatan berhikmah bagi mencapai solusi terbaik.

“Ini kerana akan memberikan gambaran atau persepsi kurang baik kepada pihak kerajaan, seolah-olah tiada kebersamaan dalam sistem pentadbiran kerajaan bagi sesebuah kementerian atau jabatan atau agensi kerajaan,” katanya.

Pada masa sama, Adnan berkata, sebagai kerajaan berkonsepkan Madani yang mempertahankan prinsip dan nilai baik seperti ihsan dan kebersamaan, pihak terbabit wajar menunjukkan contoh baik agar rakyat tidak celaru pemikirannya dengan tingkah laku tidak enak untuk mereka tatapi.

Ujarnya, jika benar berlaku pelanggaran mengenai skop tanggungjawab, sepatutnya ada pihak yang boleh dirujuk sebelum kuasa pemutus digunakan.

Malah, Cuepacs merasakan perlu ada pihak ketiga yang menjadi penasihat dalam memastikan situasi adil dan saksama dapat dipraktikan pada masa hadapan, sebelum sesuatu keputusan dilaksankan.

“Jika pengguna boleh pergi ke bahagian tribunal pengguna untuk menyelesaikan permasalahan mereka, maka untuk penjawat awam juga ada baiknya jawatankuasa yang bersifat sebagai pihak ketiga diwujudkan.

“Ia sekali gus dapat menangkis tanggapan kurang baik terhadap imej perkhidmatan awam dan kerajaan secara keseluruhannya,” katanya.

Terdapat laporan mendakwa, Ammar Abd Ghapar diturunkan pangkat kerana enggan mengikut arahan yang diberikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya. – Gambar Bernama, 24 Februari, 2024

Mengulas lanjut mengenai isu penurunan pangkat Ammar, Adnan berkata, Cuepacs memohon penjelasan penuh daripada King Sing.

Jelasnya, notis penamatan dikeluarkan pada 22 Februari dan berkuatkuasa pada 26 Februari itu, amat singkat dan mengejutkan itu, malah boleh menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan pihak berkepentingan, terutama penggiat industri tempatan.

“Cuepacs amat terkesan dengan isu yang berlaku pada masa kini. Cuepacs berharap tampuk kepimpinan negara dapat mengimbangi keadaan ini supaya tidak menjadi barah yang menikam kalbu penjawat awam.

“Cuepacs amat yakin kepimpinan tertinggi negara sentiasa mempunyai hati dan sifat ihsan amat tinggi dalam mendepani isu seperti ini, khususnya kepada penjawat awam. Marilah kita bersama-sama berpegang pada prinsip sama demi kemakmuran dan kesejahteraan Malaysia,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan mengenai penularan surat penamatan perkhidmatan Ammar yang berkuat kuasa Isnin ini, dengan dokumen bertarikh Khamis lalu itu mempunyai tandatangan King Sing.

Surat itu memperincikan penamatan perkhidmatan Ammar adalah di bawah Subseksyen 10 (1) Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992 (Akta 481), dibaca bersama Seksyen 47 Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388).

Menerusi maklumat dilaporkan portal berita yang memetik sumber, difahamkan King Sing memecat Ammar kerana tidak berpuas hati dengan keengganan pegawai itu mengikut arahan.

Bagaimanapun, menerusi penjelasannya hari ini, King Sing dilapor menafikan beliau memecat Ammar, sebaliknya menegaskan pegawai itu diturunkan pangkat kepada Timbalan Ketua Pengarah, susulan kemerosotan prestasi. – 24 Februari, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Lazada’s Malaysian office not spared from major layoffs

Employees across various departments at Lazada Malaysia's office have allegedly been informed about an impending meeting with the company's human resources team in the next few days. 

Ibu Zayn Rayyan ‘tinggalkan’ media sosial, tak tahan komen jahat netizen kaitkan dengan pembunuhan

Menurut Zahari Mohd Reba, menantunya itu masih lagi trauma dan terkesan di atas kehilangan Zayn Rayyan, yang ditemukan mati dibunuh di saliran air kira-kira 100 meter dari kediaman mereka di Apartmen Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember tahun lalu

Related