HEADLINES

Jurulatih renang para direhatkan susulan isu gangguan seksual

Bagaimanapun, sebahagian atlet mahukan khidmat jurulatih itu untuk terus mengemudi pasukan dalam persiapan ke Sukan Paralimpik Paris 2024

1:38 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jurulatih yang dikaitkan dengan kes gangguan seksual membabitkan perenang para negara direhatkan sehingga siasatan isu salah laku itu selesai, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Beliau berkata, sebaik sahaja laporan berkenaan diterima baru-baru ini, Pegawai Pelindungan Majlis Sukan Negara (MSN) telah mengadakan perjumpaan bersama atlet terlibat untuk melindungi hak mereka menerusi kod Sukan Selamat yang dilancarkan pada 15 Mac tahun lalu.

Beliau menegaskan, akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap jurulatih berkenaan sekiranya terbukti bersalah menerusi siasatan pihak polis yang sedang berlangsung ketika ini.

“Selepas dapat e-mel dalam akaun macam surat layang dan laporan polis dibuat, kita terus rehatkan dulu jurulatih untuk pastikan siasatan berlangsung.

“Tetapi kalau (e-mel) surat layang ini betul, MSN akan ambil tindakan terus… tetapi kalau pelaporan semua ini terus berjalan dan (e-mel) surat layang itu tidak benar, saya boleh jangka tindakan undang-undang akan datang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Kod Sukan Selamat: Antigangguan Seksual Dalam Sukan di Institut Sukan Negara (ISN) di Bukit Jalil di sini hari ini.

Beliau turut memaklumkan terdapat sebahagian atlet renang para negara yang mahukan khidmat jurulatih itu untuk terus mengemudi pasukan dalam persiapan ke Sukan Paralimpik Paris 2024 pada 28 Ogos hingga 8 September depan.

Bagaimanapun, Hannah berkata, MSN akan meneliti permintaan berkenaan sebelum sebarang keputusan dibuat, terutama apabila ia melibatkan keselamatan atlet.

“Sekarang ini tuduhan melibatkan jurulatih dan polis sedang jalankan siasatan. Jadi kita tidak boleh ganggu siasatan tersebut tetapi ada atlet telah meminta supaya jurulatih ini (sama) terus melatih mereka. Ini jurulatih yang telah bersama mereka sejak 2017…jadi sudah lama.

“Atlet telah meminta (untuk jurulatih sama mengajar) kerana (mereka) akan bertanding di Sukan Paralimpik nanti di Paris, beberapa bulan lagi kerana mereka tidak mahu proses persediaan untuk ke Sukan Paralimpik terganggu,” katanya.

Hannah turut mengesahkan, tiada jurulatih baharu dimasukkan dalam Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) bagi mengganti jurulatih berkenaan.

Sebuah media tempatan melaporkan MPM mengesahkan seorang jurulatih para telah disiasat kerana melakukan gangguan seksual terhadap seorang atlet para bawah umur.

Menurut laporan itu, Presiden MPM, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin memaklumkan badan induk itu telah membuat laporan polis selepas menerima e-mel berhubung perkara itu daripada Persatuan Renang Para Malaysia (MPSA), manakala MSN menegaskan tidak menerima laporan ataupun aduan daripada mana-mana atlet para mengenai salah laku seksual oleh jurulatih sebelum aduan terbaharu pada Selasa (27 Februari). – 29 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

End of an era: Ex-Malaysia Airlines A380 faces dismantling in French scrapyard

Once a long-haul icon, the superjumbo is being dismantled for prized components as the airline modernises its fleet with fuel-efficient jets

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Related