◉ HEADLINES

Sultan Selangor tidak berhasrat sambung tugas Pengerusi MKI

Baginda mula menjalankan tugas itu pada 10 Mac 2022 sehingga 9 Mac 2024

5:04 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berhasrat untuk menyambung tugas sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) selepas tempoh perkhidmatan baginda tamat pada 9 Mac ini.

Menurut kenyataan Selangor Royal Office dalam Facebook hari ini, baginda menyerahkan kepada Majlis Raja-Raja untuk memilih seorang pengerusi baharu bagi MKI.

“Baginda mula menjalankan tugas sebagai Pengerusi MKI pada 10 Mac 2022 sehingga 9 Mac 2024,” jelas kenyataan itu.

Menurut Selangor Royal Office, baginda menyerahkan kepada Majlis Raja-Raja untuk memilih seorang Pengerusi baharu dari kalangan raja pemerintah agar kesinambungan fungsi dan aspirasi MKI akan terus dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

“Baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga atas komitmen semua ahli mesyuarat serta wakil-wakil dari semua negeri serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selaku Sekretariat MKI yang telah melaksanakan tugasnya dengan begitu efektif sehingga membolehkan semua mesyuarat MKI dapat dilaksanakan dengan sempurna,” katanya.

Terdahulu baginda berkenan menerima menghadap Ketua Pengarah Jakim merangkap Setiausaha MKI, Datin Hakimah Mohd Yusoff dan Sekretariat MKI.

Pada mesyuarat terakhir bersama jawatankuasa itu, baginda menzahirkan penghargaan dan rasa sukacita terhadap kerjasama yang diberikan oleh ahli-ahli jawatankuasa dan sekretariat sepanjang baginda memegang jawatan sebagai Pengerusi MKI.

Baginda turut menyemak semua minit-minit mesyuarat yang lalu dan memastikan Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam yang telah ditubuhkan, menjalankan tugas yang diamanahkan.

Baginda menegaskan bahawa sepanjang bertindak sebagai Pengerusi MKI, telah menjadi kewajipan baginda untuk sentiasa mengangkat dan mempertahankan syiar Islam di Malaysia dalam setiap keputusan yang dibuat secara muzakarah.

Merujuk kepada Peraturan 2(1) Peraturan-Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia 2022 yang menetapkan bahawa Pengerusi MKI hendaklah dipilih dari kalangan raja pemerintahdan hendaklah memegang jawatan selama tempoh dua tahun dan boleh diperbaharui. – 7 Mac, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Penugasan baharu Shuhaily dalam PDRM belum diputuskan : KPN

Mohd Khalid berkata sebarang tugasan dan tindakan susulan terhadap Shuhaily hanya boleh diambil selepas beliau kembali ke PDRM, namun setakat ini belum ada keputusan dibuat

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

◉ Related