MITI, MIDA bantu 550 pekerja Goodyear hilang pekerjaan

Pasukan khas yang ditubuhkan akan membantu penempatan semula pekerja serta menawarkan program peningkatan kemahiran dan latihan semula

3:24 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi inisiatif yang diterajui oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), menubuhkan pasukan khas bagi membantu 550 pekerja yang terjejas ekoran penutupan kilang Goodyear di Shah Alam.

Mida dalam satu kenyataan berkata, pasukan itu akan membantu penempatan semula pekerja serta menawarkan program peningkatan kemahiran dan latihan semula kepada pekerja yang terjejas.

“Melihat kepada kejayaan usaha terdahulu, Mida aktif bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Pekerja (Perkeso) serta Jabatan Tenaga Kerja melalui Pusat Pemudahcara Invest Malaysia yang baharu untuk memudahkan bantuan penempatan pekerjaan daripada pelbagai sektor.

“Usaha kerjasama ini menunjukkan potensi mekanisme sokongan yang berkesan bagi membantu mereka yang terjejas berikutan penutupan kilang Goodyear di Shah Alam, menunjukkan komitmen kerajaan terhadap peralihan dan daya tahan tenaga kerja,” kata MIDA.

Menurut MIDA langkah intervensi itu bukti komitmen tidak berbelah bahagi mereka dalam menyokong tenaga kerja yang terjejas untuk mendapatkan peluang pekerjaan baharu, menerusi pendekatan yang berjaya sebelum ini bersama syarikat yang melaksanakan rasionalisasi atau pengecilan operasi.

“Keadaan ini menggariskan kepentingan komitmen MITI dan MIDA untuk menyokong pekerja yang terjejas dan memupuk daya tahan,” katanya.

Goodyear, bersama-sama pemegang sahamnya, telah menyelaraskan satu rangka kerja sokongan untuk pekerjanya sebelum memutuskan untuk menutup kilangnya di Shah Alam itu.

“Perkembangan ini merupakan sebahagian daripada langkah operasi global Goodyear bagi mencapai penjimatan kos tahunan sebanyak AS$1 bilion (kira-kira RM4.69 bilion) menjelang 2025. Syarikat itu menanggung kerugian sejak 2017, mendorong peralihan strategik ke arah mengoptimumkan operasinya,” kata MIDA.

Sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula syarikat itu, ia merancang untuk beralih daripada pengeluar kepada pengedar, menumpukan kepada segmen premium yang menguntungkan, membina keupayaan dalam jualan dan pemasaran, mengukuhkan rangkaian pengedaran, dan menambah baik struktur kos.

Sementara itu, MIDA berkata, Malaysia mencapai prestasi pelaburan yang bersejarah pada 2023 dengan pelaburan yang diluluskan berjumlah RM329.5 bilion merentasi pelbagai sektor ekonomi.

Ia berkata, dalam sektor pembuatan sahaja, yang menyumbang RM152 bilion daripada jumlah pelaburan diluluskan, sebahagian besarnya iaitu 62.9 peratus, atau RM95.5 bilion pelaburan berasal daripada pengembangan perniagaan sedia ada dan yang mempelbagaikan operasi mereka.

“Ini menunjukkan keyakinan yang kukuh syarikat-syarikat yang mapan terhadap kestabilan ekonomi dan prospek pertumbuhan Malaysia,” katanya. – 8 Mac, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Hartalega Holdings falls prey to ransomware attack, internal systems down

According to an urgent notice sent out by its IT team to personnel in the Bursa-listed firm’s wholly-owned subsidiaries Hartalega NGC Sdn Bhd and Hartalega Sdn Bhd, a number of applications and softwares are currently inaccessible due to the attack.  

Related