Tarikh akhir pengambilan pekerja asing kekal 31 Mei ini

Keputusan ini juga diharapkan dapat mencegah eksploitasi pekerja asing yang kita dengar kebelakangan ini, di mana pekerja dibawa masuk tetapi tiada pekerjaan

6:16 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menetapkan tarikh akhir pengambilan pekerja asing dikekalkan pada 31 Mei ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan mengekalkan tarikh berkenaan adalah berdasarkan beberapa alasan kukuh termasuk faktor keselamatan negara meskipun terdapat desakan bagi membatalkan keputusan berkenaan.

Menurutnya, keputusan itu dibuat secara kolektif bersama oleh semua agensi kawal selia dibawah KDN serta kementerian berkaitan.

“KDN berpaksikan kepada elemen keselamatan dan ketenteraman awam, Kementerian Sumber Manusia dari aspek keperluan tenaga buruh negara dan Agensi Kawal Selia (AKS) selaku penyelia (custodian) kepada setiap sektor berkaitan dari segi unjuran keperluan tenaga kerja asing berdasarkan kelayakan syarat penggajian pekerja asing.

“Keputusan ini membolehkan kerajaan menilai keberkesanan segala inisiatif yang sudah dilaksanakan dan mengukur secara tepat keperluan tenaga kerja asing dalam negara sebelum membuat pertimbangan keperluan pembukaan kuota penggajian pekerja asing.

“Dengan cara ini KDN boleh menyelia segala inisiatif dan ia menjadi satu pengukur yang tepat dengan keperluan tenaga kerja asing dalam negara sebelum pihaknya membuat keputusan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) menggesa agar kerajaan membatalkan keputusan mempercepat tarikh akhir pengambilan pekerja asing.

Selain itu, Saifuddin berkata, bagi tempoh 17 Januari 2023 sehingga 18 Mac 2023, sebanyak 412,011 kuota penggajian pekerja asing sektor formal sudah dibayar levi.

“Daripada jumlah itu, 239,305 kuota (58.1 peratus) diberikan surat kelulusan Visa Dengan Rujukan (VDR) sehingga 31 Disember 2023.

“Statistik ini memberikan gambaran jelas bahawa majikan yang benar-benar memerlukan pekerja asing akan menyegerakan kemasukan pekerja asing ke dalam negara,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keputusan itu juga memberi ruang kepada kerajaan untuk memantau keberkesanan langkah pelarasan yang diputuskan, seterusnya meneroka tatakelola pekerja asing lebih baik.

“Selain itu, tempoh kemasukan pekerja asing juga wajar dipendekkan selaras dengan hasrat kerajaan menyegerakan proses kemasukan pekerja asing bagi memenuhi keperluan mendesak industri.

“Keputusan ini juga diharapkan dapat mencegah eksploitasi pekerja asing yang kita dengar kebelakangan ini. (Mereka) Dibawa masuk tetapi tiada pekerjaan, tempat tinggal teruk dan pelbagai lagi,” katanya.

Kerajaan sebelum ini memutuskan baki kuota penggajian pekerja asing sektor formal yang masih aktif dan sudah dibayar levi tetapi masih belum diterbitkan VDR pada 31 Mac ini akan dibatalkan dengan bayaran levi kuota dikembalikan kepada majikan.

Kerajaan turut memutuskan tarikh akhir kemasukan pekerja asing sektor formal yang baharu dengan VDR adalah pada 31 Mei 2024 dan tiada lagi kemasukan pekerja asing sektor formal dari kuota aktif dibenarkan bermula 1 Jun 2024.

Untuk rekod, Jabatan Perangkaan mengunjurkan bahawa keseluruhan guna tenaga kerja dalam negara setakat November tahun lalu adalah seramai 17,000,000.

Justeru, siling yang dibenarkan bagi jumlah keseluruhan pekerja asing dalam negara seramai 2,550,000.

Sehingga 29 Februari 2024, jumlah pekerja asing aktif yang direkodkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia adalah seramai 2,130,931. – 8 Mac, 2024

Topics

Hangat

Saya juga manusia, punya hati: Ning Baizura sedih, terguris diri digelar Kristian, keluarga dikritik

Jelas Ning, beliau kecewa kerana daripada satu perkara kecil, ia diperbesarkan segelintir netizen, termasuk menyerang Instagramnya dengan kata-kata hinaan

Iranian President Ebrahim Raisi confirmed dead as burnt helicopter wreckage found

No survivors have been found since crashed helicopter site was discovered, says Iranian Red Crescent Society

Two bullets, profane letter in my mailbox: Teresa Kok lodges report on death threat

Seputeh MP shares her distress after discovering threatening note while retrieving her mail yesterday; police have inspected the scene at her residence

Related