Keluarga Zayn Rayyan sudah berpindah, penduduk masih trauma selagi suspek belum ditangkap

Usaha untuk mendapatkan pengesahan berhubung perpindahan keluarga Zayn Rayyan gagal apabila panggilan tidak dijawab ibunya, Ismanira Abdul Manaf

10:00 PM MYT

 

PETALING JAYA – Keluarga kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin dipercayai sudah berpindah keluar dari kediaman mereka di Apartmen Idaman, Damansara Damai sejak beberapa minggu lalu.

Perkara itu dimaklumkan seorang jiran terdekat keluarga tersebut yang enggan namanya didedahkan ketika tinjauan Scoop ke kawasan kediaman itu, semalam.

Malah, berdasarkan pemerhatian, tingkap rumah keluarga Zayn yang menetap di aras 2, Blok R sudah tidak lagi berlangsir seperti sebelum ini, sekali gus menguatkan lagi dakwaan tersebut.

Usaha untuk mendapatkan pengesahan berhubung perkara itu bagaimanapun gagal apabila panggilan tidak dijawab ibu Zayn, Ismanira Abdul Manaf, 29.

Seorang jiran yang enggan namanya didedahkan memberitahu suasana di kawasan kediaman itu sudah kembali normal seperti sebelum ini meskipun mengakui masih trauma dengan insiden menyayat hati yang menimpa Zayn.

Berdasarkan pemerhatian, tingkap rumah keluarga Zayn yang menetap di aras 2, Blok R sudah tidak lagi berlangsir seperti sebelum ini, sekali gus menguatkan lagi dakwaan keluarganya sudah berpindah – Juliana Johar/Scoop, 12 Mac, 2024

Menurutnya, taman permainan yang terletak berhadapan dengan Blok R itu kini sudah semakin ceria dengan gelak tawa kanak-kanak yang dahulunya fobia dengan kejadian menggemparkan pada Disember tahun lalu.

“Sekarang keadaan sudah kembali normal, cuma tidaklah semeriah macam dulu. Taman permainan pun saya perhatikan dah makin ramai kanak-kanak turun bermain.

“Tetapi yang pastinya, saya tengok sekarang ramai ibu bapa berjaga-jaga dan sentiasa pantau anak mereka ketika bermain di taman permainan. Tempat ini selalu ramai budak-budak main dari jam 5 petang sampai ke Maghrib,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk yang menetap di Blok S yang turut enggan dikenali memaklumkan pihak polis masih lagi melakukan rondaan di sekitar kediaman mereka dengan kekerapan setiap dua hari sekali.

Katanya, meskipun kes itu hampir empat bulan berlalu, kebanyakan penduduk masih fobia dan berharap suspek dapat ditangkap segera agar mereka dapat kembali hidup tenang seperti sebelum ini.

“Pihak polis masih lagi melakukan rondaan, kebiasaannya pada waktu petang. Jadi, kami rasa selamat sedikit bila ada rondaan berkala. Saya cuma berharap suspek akan segera ditangkap agar kehidupan penduduk di sini kembali tenang macam dulu.

“Daripada kes Zayn ini pun, semua penduduk belajar sesuatu, kami ajar anak-anak menjerit bila dihampiri orang yang tidak dikenali bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku. Saya berharap ada keadilan untuk Zayn nanti,” katanya.

Taman permainan yang terletak berhadapan dengan Blok R itu kini sudah semakin ceria dengan gelak tawa kanak-kanak yang dahulunya fobia dengan kejadian menggemparkan pada Disember tahun lalu – Juliana Johar/Scoop, 12 Mac, 2024

Terdahulu, polis memaklumkan tidak akan berhenti menjalankan siasatan kes pembunuhan Zayn sehingga memperoleh sebarang petunjuk baharu yang boleh membantu siasatan.

Polis turut meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi membantu siasatan kes tersebut, bagaimanapun sehingga ke hari ini belum menunjukkan sebarang perkembangan positif.

Pada 5 Disember lalu, Zayn, 6, dilaporkan hilang di Damansara Damai di sini sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartmen Idaman pada keesokan harinya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badan kerana mempertahankan diri, dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – 12 Mac, 2024

Topics

Hangat

Saya juga manusia, punya hati: Ning Baizura sedih, terguris diri digelar Kristian, keluarga dikritik

Jelas Ning, beliau kecewa kerana daripada satu perkara kecil, ia diperbesarkan segelintir netizen, termasuk menyerang Instagramnya dengan kata-kata hinaan

Iranian President Ebrahim Raisi confirmed dead as burnt helicopter wreckage found

No survivors have been found since crashed helicopter site was discovered, says Iranian Red Crescent Society

Two bullets, profane letter in my mailbox: Teresa Kok lodges report on death threat

Seputeh MP shares her distress after discovering threatening note while retrieving her mail yesterday; police have inspected the scene at her residence

Related