Siasatan ke atas Pasti berdasarkan undang-undang, ‘kalau tidak buat salah jangan khuatir’: Steven

Katanya, tempoh tindakan diambil JTKSM dalam mengawal selia kecuaian majikan adalah 21 hari daripada tarikh pengaduan pekerja

12:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pemeriksaan berkanun dan siasatan dijalankan kerajaan ke atas Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) tidak bersifat ‘pilih kasih’, sebaliknya ia berdasarkan undang-undang sedia ada dalam membela hak pekerja.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, pendirian pihaknya mengenai hak pekerja ke atas gaji mereka seperti ditetapkan undang-undang adalah tetap dan tegas.

Katanya, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), sememangnya akan menyiasat setiap isu aduan membabitkan pelanggaran undang-undang perburuhan, bagi memastikan majikan mematuhi peraturan dikuatkuasakan.

“Negara kita ada Raja, ada undang-undang, tak kira siapa sekalipun, syarikat swasta, syarikat kerajaan, tak kira di negeri mana, Kedah, Pulau Pinang, tak kira parti politik mana, DAP ke, PAS ke, semua kena ikut undang-undang.

“Pendirian kita tetap dan tegas, pekerja berhak ke atas gaji mereka dan benda ini jangan main-main, kita tidak akan kompromi, tak kira anda siapa, Kesuma akan ambil tindakan jika hak pekerja tidak dibela.

“Kalau tidak buat salah jangan khuatir…” katanya pada sesi pertanyaan lisan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan dikemukakan Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan dan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib.

Dalam soalannya, Aminolhuda meminta Steven memperincikan mengenai satu memo dikeluarkan Ibu Pejabat JTKSM, baru-baru ini yang tular mengenai arahan siasatan pemeriksaan berkanun terhadap Pasti.

Aminolhuda berkata, penjelasan itu untuk mengelakkan sebarang spekulasi dalam kalangan masyarakat, termasuk adakah siasatan itu berkait dengan isu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan tunggakan gaji.

Manakala, Afnan mengemukakan pertanyaan mengenai apakah tujuan Kesuma untuk menjalankan siasatan kepada semua premis Pasti.

Tegasnya, Pasti adalah pusat aktiviti parti yang dijalankan secara sukarela dengan gurunya adalah sukarelawan, bukan membabitkan hubungan ‘majikan dan pekerja’.

Mengulas mengenai soalan Aminolhuda mengenai tempoh tindakan diambil JTKSM dalam mengawal selia kecuaian majikan sekiranya ada aduan daripada pekerja, Steven yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, piagam pelanggan jabatan itu menetapkan durasinya adalah 21 hari bekerja daripada tarikh pengaduan.

Jelasnya, tempoh itu membabitkan tindakan menyiasat dan memaklumkan hasil setiap siasatan berkaitan aduan.

Steven berkata, sebagai contoh adalah bagi kes membabitkan isu sebuah anak syarikat di bawah MBI Kedah yang menyaksikan JTKSM menerima aduan daripada 24 pekerja terhadap Kedah Agro Holding Berhad (KAHB) pada 4 Januari 2024, berhubung kelewatan majikan membayar gaji.

“Pada 9 Januari, iaitu lima hari selepas itu, JTKSM menjalankan siasatan terhadap syarikat serta didapati aduan adalah berasas dan majikan tidak dapat membayar gaji kerana masalah kewangan.

“Justeru, JTKSM mengambil tindakan dengan mengeluarkan notis pematuhan kepada majikan tersebut pada 15 Januari 2024 supaya majikan membayar gaji,” katanya.

Pada 17 Mac lalu, katanya, mesyuarat lembaga pengarah KAHB memutuskan beberapa perkara, iaitu gaji semasa dan tunggakan gaji akan dibayar sebelum hari raya Aidilfitri, dengan membabitkan jumlah tunggakan adalah kira-kira RM500,000.

“Syarikat itu memutuskan untuk menghentikan operasi mereka, justeru faedah penamatan dan gaji ganti notis akan dibayar dalam tempoh tiga bulan mulai Mac 2024.

“Pekerja sudah dinasihatkan untuk memfailkan kes buruh bagi tuntutan gaji terhadap majikan, jadi JTKSM akan membuka siasatan kertas siasatan sekiranya ada laporan difailkan di bawah Seksyen 19 Akta Kerja 1955 atas kesalahan pembayaran gaji lewat.

“Jika disabit kesalahan, (majikan) boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 setiap pertuduhan di bawah Seksyen 99a akta yang sama,” katanya. – 19 Mac, 2024

Topics

Hangat

Saya juga manusia, punya hati: Ning Baizura sedih, terguris diri digelar Kristian, keluarga dikritik

Jelas Ning, beliau kecewa kerana daripada satu perkara kecil, ia diperbesarkan segelintir netizen, termasuk menyerang Instagramnya dengan kata-kata hinaan

Iranian President Ebrahim Raisi confirmed dead as burnt helicopter wreckage found

No survivors have been found since crashed helicopter site was discovered, says Iranian Red Crescent Society

Two bullets, profane letter in my mailbox: Teresa Kok lodges report on death threat

Seputeh MP shares her distress after discovering threatening note while retrieving her mail yesterday; police have inspected the scene at her residence

Related