Cubaan bakar KK Mart: Saifuddin minta hentikan sentimen mengapi-apikan rakyat

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, isu stoking ini menunjukkan begitu mudah emosi serta sentimen rakyat dimainkan pihak tidak bertanggungjawab

6:27 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyelar serta memandang serius tindakan pihak tidak bertanggungjawab cuba membakar cawangan KK Mart di Sungai Isap, Kuantan, Pahang dalam kejadian pagi tadi yang dipercayai berkaitan isu stoking tertera kalimah Allah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, polis sentiasa bersiap sedia mengawal keselamatan awam negara berikutan wujud pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan isu tercetus, bagi meniup sentimen agama, kaum dan kelompok demi kepentingan tertentu.

“Terbukti kebimbangan kita dalam isu 3R (kaum, agama, raja) selama ini adalah berasas dan munasabah sekalipun dipertikai sesetengah pihak dan isu stoking ini, menunjukkan begitu mudah emosi serta sentimen rakyat dimainkan pihak tidak bertanggungjawab.

“Polis memandang serius percubaan membakar KK Mart ini yang mana insiden pertama berlaku di KK Mart Bidor Perak pada 26 Mac lalu. Polis juga akan mengerah seluruh kekuatan untuk mengawal dan mengekalkan ketenteraman awam di negara ini.

“Kejadian melempar bola api ke kedai KK Mart Sungai Isap Kuantan, jam 5 pagi tadi menimbulkan keresahan penduduk setempat dan rakyat keseluruhannya menjelang Aidilfitri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Saifuddin menggesa orang ramai tidak melakukan sebarang kesalahan seperti menceroboh atau cubaan membakar premis KK Mart yang berkemungkinan membabitkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa. Gambar sekadar hiasan – Abdul Razak Latif/Scoop, 30 Mac, 2024

Menurut Saifuddin, tindakan undang-undang sudah diambil terhadap pihak bertanggungjawab berhubung penjualan stoking tertera kalimah Allah itu, justeru tidak sepatutnya rakyat terus dilaga-lagakan dengan sentimen agama bagi memecahbelahkan keharmonian penduduk berbilang bangsa di negara ini.

“Tindakan undang-undang sudah diambil ke atas Pengarah & Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Super Mart dan pembekal stoking Xin Jian Chang Sdn Bhd. Pembekal dan penjual sudah didakwa di mahkamah.

“Rampasan sudah dibuat dan jualan dihentikan, malah pengarah KK Mart memohon maaf. Namun kejadian ini menjadi bahaya apabila ada pihak mengambil kesempatan meniup sentimen agama, kaum dan kelompok untuk kepentingan tertentu,” katanya.

Susulan itu, Saifuddin menggesa orang ramai tidak melakukan sebarang kesalahan seperti menceroboh atau cubaan membakar premis KK Mart yang berkemungkinan membabitkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa.

Katanya, menggesa dan mendorong orang ramai memboikot sesuatu jenama mungkin bukan kesalahan undang-undang, tetapi jelas menjadi kesalahan apabila mereka bertindak menceroboh atau cuba membakar premis KK Mart.

Saifuddin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan tetap mengambil tindakan berasaskan undang-undang demi kepentingan orang ramai.

“Saya mengajak mereka yang mendorong pemboikotan ini ikut mengambil tanggungjawab meredakan dan hentikan terus perbuatan membakar sentimen orang ramai.

“Beri ruang dan kepercayaan sepenuhnya kepada PDRM menjalankan tugas mengesan, menangkap dan menyiasat individu terlibat. Biar proses undang-undang berjalan demi keamanan, ketenteraman rakyat dan negara,” katanya.

Terdahulu, sebuah kedai serbaneka KK Mart yang baharu beroperasi sejak dua minggu lalu di Sungai Isap, Kuantan diserang dengan ‘molotov cocktail’ pada jam 5.14 pagi tadi.

Kejadian itu adalah insiden serangan kedua ke atas KK Mart selepas isu stoking tertera kalimah Allah terbabit apabila pada 26 Mac lalu, KK Mart di Jalan Bruseh, Bidor dibaling bom petrol pada kira-kira 5.35 pagi, namun serangan tidak mengakibatkan kebakaran di premis berkenaan. – 30 Mac, 2024

Topics

Hangat

Fallen tree on Jalan Sultan Ismail belongs to Menara IMC, not DBKL, Zaliha clarifies

FT minister says uprooted tree in privately owned area

UiTM student body launches ‘wear black’ protest against calls to admit non-Bumiputera 

This after doctors’ body MMA’s appeal to allow non-Malays into cardiothoracic surgery programme

Pakai baju hitam esok bantah buka UiTM kepada bukan Bumiputera: MPP

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM melancarkan kempen bantahan pembukaan universiti tersebut kepada golongan bukan Bumiputera dan menggesa semua pelajar agar memakai pakaian berwarna hitam esok.

Related