Warga Israel masuk ke Malaysia guna pasport Perancis tulen, Saifuddin nafi kelompongan sistem Imigresen

Semakan mendapati pasport Perancis milik suspek dikeluarkan oleh Kedutaan Perancis di Tel Aviv dan pasport itu sah

10:57 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tiada kelompongan dalam sistem penguatkuasaan di pintu masuk negara kerana lelaki warga Israel yang ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang pada Rabu lalu memasuki negara ini menggunakan pasport Perancis yang tulen.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, semakan mendapati pasport Perancis milik suspek dikeluarkan oleh Kedutaan Perancis di Tel Aviv dan pasport itu sah.

“Senarionya seperti jika saya tinggal di Australia, pejabat (Kedutaan Malaysia) yang mengeluarkan pasport akan berada di Melbourne. Maka saya adalah warganegara Malaysia tetapi pasport saya dikeluarkan di Australia. Begitu juga dengan lelaki Israel itu.

“Dari perspektif sistem Imigresen dan undang-undang Imigresen kita, jika dokumen perjalanan itu sah dan kita tiada masalah dengan negara mengeluarkan dokumen perjalanan dan dia tiada dalam senarai hitam, kita benarkan kemasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan tinjauan Op Khas Pagar Laut Maritim Malaysia menggunakan Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah di sekitar perairan maritim Selangor bermula dari Jeti Pusat Hidrografi Nasional di Klang, hari ini.

Justeru, Saifuddin menggesa orang ramai supaya memberi keyakinan penuh terhadap tahap profesionalisme polis dalam menjalankan siasatan kes terbabit.

“Saya juga telah diberi taklimat mengenai perkembangan dari semasa ke semasa (berhubung siasatan) dan pencapaian mereka adalah membanggakan setakat ini.

“Dalam tempoh kurang 48 jam, berjaya menangkap individu disyaki pembekal senjata. Mereka kenal pasti motif dan sebagainya.

“Jadi, biar polis buat penilaian dengan apa yang penting adalah jaminan keselamatan dan ketentaraman awam menjadi keutamaan kita,” katanya.

Ketika ditanya sama ada KDN akan meneliti semula kemasukan warga asing, Saifuddin menegaskan, Malaysia negara berdaulat dan polisi menerima kedatangan pelancong tidak kira dari mana kecuali negara tiada hubungan diplomatik.

“Jadi semua pintu masuk negara asalkan mereka sampai dengan dokumen sah, tertib, masuk seperti biasa.

“Cuma tanggungjawab kita mengawal keselamatan pintu masuk bagi memastikan mereka datang dari kalangan tidak terlibat daripada sebarang aktiviti ancaman. Kita ada senarai hitam individu dilarang masuk,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan penahanan suspek lelaki dipercayai warga Israel di sebuah hotel di Jalan Ampang, Rabu lalu.

Polis turut menemui enam pistol termasuk SIG Sauer, Smith dan Wesson serta Glock selain 200 butir peluru selain dua pasport iaitu pasport Perancis yang digunakannya untuk masuk ke Malaysia dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 12 Mac lalu serta satu pasport Israel.

Razarudin dilaporkan berkata, hasil soal siasat, suspek mendakwa dia datang ke negara ini untuk mencari seorang individu yang juga rakyat negaranya untuk dibunuh kononnya berkaitan isu keluarga, namun polis tidak mempercayai dakwaannya itu.

Pihak polis bagaimanapun masih menjalankan siasatan dan berkemungkinan suspek mempunyai agenda lain datang ke negara ini. – 1 April, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

[UPDATED] Severe turbulence: Singapore Airlines flight makes emergency landing in Bangkok, one dead, 30 injured

The Boeing 777 flying in from London was forced to land at Suvarnabhumi Airport, Bangkok, 3.45pm local time

Related