HEADLINES

Polemik perkauman: Kementerian Perpaduan Negara, Jakim adakan mesyuarat tergempar

Mesyuarat itu bagi membincangkan isu perkauman dan agama dihadapi negara, selain menentukan langkah segera patut diambil

8:34 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK Harmoni) yang diurusetiakan Kementerian Perpaduan Negara dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengadakan mesyuarat tergempar dalam tempoh terdekat, bagi membincangkan insiden polemik perkauman serta agama yang kini melanda negara.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar menerusi kenyataan bersama berkata, mesyuarat itu juga bagi membolehkan langkah segera diambil dalam menjamin keharmonian rakyat dan negara.

“Datuk Aaron Ago Dagang dan Datuk Mohd Na’im Mokhtar mengutuk sekeras-kerasnya semua insiden polemik perkauman dan agama yang menganggu gugat keharmonian rakyat.

“Sejak beberapa minggu ini, negara terus menerus dilanda pelbagai insiden berhubung sensitiviti agama dan perkauman, termasuk kes di KK Mart, Kuching baru-baru ini yang disebabkan individu tidak bertanggungjawab,” katanya.

Malah, kenyataan itu memaklumkan, kedua-dua menteri itu juga memberikan amaran tegas kepada semua individu agar tidak sama sekali mencetuskan polemik perkauman yang melampau, sehingga mewujudkan ketegangan sosial dalam kalangan rakyat berbilang bangsa, agama dan budaya di Malaysia.

Kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Menteri Perpaduan Negara dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). – Gambar Facebook, 3 April, 2024

“Kedua-dua menteri juga mengulangi pendirian menggesa agar tidak ada pihak yang mencetuskan perkara menyentuh sensitiviti agama dan mematuhi Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Pada masa sama, mereka turut menggesa agar semua pemimpin parti politik berhenti memanjangkan isu KK Mart ini kerana kenyataan yang berterusan dan melulu, akan menyebabkan situasi lebih keruh.

“Masyarakat perlu sentiasa memupuk dan mengamalkan nilai hidup yang menjadi tanggungjawab setiap rakyat, bagi melindungi serta mempertahankan kestabilan serta keselamatan negara daripada sebarang ancaman perbalahan, provokasi dan permusuhan,” katanya.

Pada 13 Mac lalu, tular di media sosial isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di sebuah rangkaian premis KK Mart, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Isu berkenaan mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat, terutama pemimpin politik dengan ada antara mereka membidas penjualan itu, manakala segelintir meminta ia tidak diperbesarkan, terutama apabila pihak pengasas KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dilaporkan memohon maaf berhubung perkara terbabit.

Kes itu semakin hangat apabila Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh melancarkan kempen memboikot KK Mart besar-besaran dengan menggesa umat Islam supaya mengambil tindakan berkenaan.

Tegasnya, boikot itu sebagai pengajaran keras kepada semua pihak yang dengan senang memperlekehkan isu agama dan bangsa.

Kontroversi itu turut menyebabkan berlaku insiden KK Mart di Jalan Bruseh, Bidor dibaling bom petrol pada 5.35 pagi, 26 Mac lalu, namun serangan tidak mengakibatkan kebakaran di premis berkenaan.

Pada 30 Mac pula, premis KK Mart yang baharu beroperasi sejak dua minggu lalu di Sungai Isap, Kuantan turut diserang dengan bom petrol pada jam 5.14 pagi, sehingga menyebabkan berlaku kebakaran kecil di pintu masuk kedai serbaneka terbabit. – 3 April, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Related