◉ HEADLINES

Bertenang, henti boikot KK Mart, ia hanya gugat keharmonian: Bos Mydin

Boikot terhadap peruncit tempatan itu tidak perlu diteruskan berikutan kes terbabit sudah menjadi kes mahkamah

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Semua pihak wajar bertenang dan menghentikan tindakan memboikot kedai serbaneka KK Mart yang dilihat tidak lebih hanya mengganggu keharmonian kaum di negara ini.

Bercakap kepada Scoop, Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, kenyataannya itu bukan mahu mempertahan KK Mart atau pengasasnya, Datuk Seri KK Chai, namun melihat kepada soal yang lebih besar iaitu keharmonian lapisan masyarakat dalam negara.

“Dia (KK Chai) dah minta maaf dan kalau kita tengok muka dia minta maaf nampak keikhlasan dan dia sendiri tahu dia salah dan terlepas pandang. Sebagai umat Islam yang baik dan kebetulan pada bulan mulia ini, kita juga sepatutnya maafkan dia.

“Kenapa kita nak boikot-boikot, dia (KK Chai) juga orang Malaysia, dia pun bermula susah dan bukan anak orang kaya, sama macam saya.

“Yang ‘jahat-jahat’ ini beberapa ahli politik, yang cuba menjadi jaguh termasuklah Dr Akmal (Ketua Pemuda Umno, Dr Muhammad Akmal Saleh), bila ada pembabitan ahli politik, mereka ada agenda politik.

“Pada saya we should cool down (kita perlu bertenang). Jangan diheboh-hebohkan lagi (gerakan boikot), teruskan hidup secara harmoni dan jauhkan daripada menyentuh 3R (bangsa, agama, institusi raja),” katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri KK Chai semalam memohon ampun dan maaf kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta seluruh umat Islam berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah.

Permohonan maaf itu dinyatakan beliau ketika diperkenan menghadap Seri Paduka di Istana Negara.

Menerusi hantaran di akaun Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap KK Chai di Istana Negara yang berlangsung selama 15 minit.

Datuk Seri KK Chai semalam memohon ampun dan maaf kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta seluruh umat Islam berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah – Gambar Facebook Sultan Ibrahim, 4 April, 2024

Ameer yang juga Pengarah Urusan Mydin Holdings Bhd (Mydin) berkata, boikot terhadap peruncit tempatan itu tidak perlu diteruskan berikutan kes terbabit sudah menjadi kes mahkamah.

“Lagipun Yang di-Pertuan Agong dah bertitah, penguat kuasa pun dah ambil tindakan dan Datuk KK Chai pun sudah dihadapkan ke mahkamah, jika kita buat silap jadi kita harus terimalah kesannya,” katanya.

Beliau berkata, begitu juga dalam isu beli barangan Muslim (BMF) yang mana tidak mengajak masyarakat untuk melakukan tindakan boikot.

“Kalau kita kata nak bantu beli barangan Muslim, itu tidak apa, tapi jangan boikot, contoh gerakan BMF, mereka minta beli barangan Muslim tapi bukan minta boikot barangan lain.

“Saya sokong BMF bukan sebab saya seorang Muslim tapi kita lihat kebanyakan yang susah itu orang Melayu Bumiputera, peringkat paling bawah.

“Kalau orang Cina peringkat paling bawah kita tolong juga, begitu juga dengan kaum India, kita mesti membantu siapa yang susah, berada paling bawah (pendapatan isi rumah),” katanya.

Tambah beliau, banyak lagi cabaran yang perlu ditumpukan terutama peningkatan kos sara hidup berbanding memikirkan tindakan boikot.

Datuk Ameer Ali Mydin ingatkan bahawa ada banyak lagi cabaran yang perlu ditumpukan terutama peningkatan kos sara hidup berbanding memikirkan tindakan boikot – Halim Salleh/Scoop, 4 April, 2024

“Kita berdepan begitu banyak cabaran, peningkatan kos sara hidup, pelaburan asing, soal pelancongan kita tidak sekuat Thailand dan Vietnam, kita lihat ramai rakyat bercuti ke Hatyai.

“Kalau kita tumpukan perkara seperti ini, sekurang-kurangnya dapat naikkan ekonomi negara. Kita adalah negara yang ada banyak potensi, ada banyak sumber, ladang, minyak sawit, tanah yang banyak, jadi janganlah hancurkan negara ini,” katanya.

Baru-baru ini, Ketua Pemuda Umno, Dr Mohamad Akmal Saleh menegaskan, beliau tidak pernah terfikir untuk menjadi ‘hero’, dipuji atau dipandang hebat dalam perjuangannya yang menggesa KK Mart diboikot berhubung isu kedai serbaneka itu menjual stoking tertera kalimah Allah.

Beliau berkata, kempen boikot diperjuangkannya itu hanya untuk melihat maruah dan kesucian Islam dipelihara.

Susulan gesaan boikot itu, berlaku insiden serangan terhadap tiga kedai serbaneka KK Mart di Pahang, Perak dan Sarawak. – 4 April, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

Malaysia Airlines, SIA join rush to cancel Middle East flights as Iran-US-Israel strikes escalate

More countries announce airspace closures as carriers suspend flights on Feb 28 and March 1, passengers reminded to check for updates on subsequent flights

Melaka schools to reopen on Oct 12 as API readings fall below 100

Air quality readings at all three monitoring stations in the state remain in the moderate range, with parents advised to monitor their children's health

◉ Related