Zafrul buat permohonan kepada Mahkamah Tinggi, mahu perbetul kesilapan fakta dalam afidavit Zahid

Menurut Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, pendiriannya itu bukan untuk mempertikaikan merit isu yang sedang berlangsung

5:43 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mahu mendapatkan nasihat undang-undang dan membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi berhubung afidavit diikrarkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu berkata, permohonan tersebut bertujuan membolehkan beliau mendapat kebenaran mahkamah bagi memfailkan afidavit untuk memperbetulkan beberapa kesilapan fakta yang terkandung dalam dokumen tersebut.

“Saya ingin menyatakan secara rasmi bahawa hari ini saya telah melihat Afidavit Tambahan No. 3 yang diikrarkan oleh Zahid pada 9 April 2024 dalam prosiding undang-undang yang dimulakan oleh Najib di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui Prosiding Semakan Kehakiman No. WA-25-136-04/2024.

“Sehubungan itu, saya telah mengambil langkah untuk mendapatkan nasihat undang-undang yang sesuai dan akan membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk meminta kebenaran bagi memfailkan afidavit saya untuk memperbetulkan beberapa kesilapan fakta yang terkandung dalam afidavit berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, pendiriannya itu bukan untuk mempertikaikan merit isu yang sedang berlangsung.

Sebaliknya, beliau berkata, ia bagi memastikan fakta sebenar direkodkan dengan betul supaya semua pihak, khususnya Mahkamah Tinggi, dapat menilai kesemua fakta material dengan sewajarnya.

“Ini akan membolehkan keputusan yang adil dan saksama dibuat demi kepentingan semua pihak yang terlibat,” katanya.

Terdahulu, Zahid disahkan sebagai ‘saksi kritikal’ yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum.

Menerusi afidavit diikrarkan Zahid pada 9 April lalu, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau dimaklumkan mengenai kewujudan titah terbabit oleh Zafrul ketika pertemuan di rumah Presiden Umno berkenaan di Country Heights, pada 30 Januari lalu.

“Apabila saya menyoal lebih lanjut, beliau (Zafrul) menunjukkan kepada saya salinan Titah Adendum itu pada telefonnya yang beliau ambil gambar dan imbas sendiri daripada salinan asal seperti ditunjukkan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

“Kandungan Titah Adendum secara jelas menyatakan bahawa pemohon (Najib) dibenarkan untuk menjalani hukumannya yang dikurangkan, kepada tahanan rumah dan bukannya secara pemenjaraan seperti sekarang di Penjara Kajang.

“Saya juga melihat Titah Adendum itu bertarikh 29 Januari 2024 yang mempunyai meterai dan tandatangan Yang di-Pertuan Agong ke-16. Saya seterusnya mengesahkan bahawa Titah Adendum itu adalah tulen dan sebenarnya adalah Titah Prerogatif Diraja sama seperti Titah Utama,” katanya.

Afidavit itu boleh dimuat turun oleh orang awam menerusi laman web e-Kehakiman.

Najib, 70, memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 1 April menerusi Tetuan Shafee & Co.
Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah supaya semua responden atau seorang daripada mereka diarah menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024.

Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud, maka semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Zahid menegaskan melihat dengan jelas semua kandungan Titah Adendum dan ia adalah sebahagian proses pengampunan Najib yang menjadi tambahan kepada Titah Utama bertarikh sama.

Justeru, Presiden Umno itu mengesahkan kewujudan Titah Adendum itu yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

“Saya juga percaya, selain saya dan Tengku Zafrul, anggota kerajaan lain sudah melihat Titah Adendum berkenaan.

“Secara khusus, saya sedar bahawa Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail juga melihat salinan Titah Adendum dan boleh mengesahkan perkara sama,” katanya. – 17 April, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[WATCH] Just what the doctor ordered: prescriptions for a better Malaysia

In the face of attempts to sow discord among the various races in the country, cardiothoracic surgeon Datuk Dr Venugopal Balchand stands ready to staunchly defend national unity and harmony in a heartbeat.

Ex-Lazada top execs create support groups for retrenched staffers

Several former top executives and managers of embattled Lazada have started unofficial support groups to help recently retrenched colleagues in Southeast Asia.

Related