Beras dibuang di tempat pembuangan sampah itu memang rosak, tidak selamat dimakan: KPKM

KPKM menasihatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai isu terbabit, memandangkan ia masih dalam siasatan

3:36 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Beras ditemui dibuang ditempat pembuangan sampah di Temerloh, Pahang sememangnya sudah rosak dan tidak sesuai serta tidak selamat dimakan.

Perkara itu dimaklumkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), berdasarkan penemuan awal hasil siasatan dijalankan Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Cawangan Temerloh di lapangan.

Justeru, KPKM menasihatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai isu terbabit, memandangkan ia masih dalam siasatan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras, 1994 [Akta 522].

“KPKM memandang serius isu tular yang berlaku dan sudah mengambil langkah segera dengan menjalankan siasatan melalui KPB Cawangan Temerloh ke lapangan.

“Turut hadir ke lokasi adalah pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

“Lokasi kejadian itu berlaku di tempat pembuangan sampah berhampiran Jalan Pintasan Rumpun Makmur-Gunung Senyum, Kuala Krau, Temerloh,” katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya, bagi makluman semua pihak, sebarang aktiviti pelupusan beras hendaklah merujuk kepada KPB.

“Sebarang maklumat lanjut atau aduan berhubung isu ini, sila kemukakan aduan secara rasmi bersama butiran dan maklumat lengkap melalui KPB, KPKM di portal aduan KPB, https://skpb.kpkm.gov.my/adu.

“Maklumat lanjut dan aduan juga boleh dibuat menerusi alamat emel, [email protected] dan Hotline Ibu Pejabat KPB Putrajaya dengan menghubungi 03-88701751/1748/1183,” katanya.

Terdahulu, kecoh di media sosial mengenai tindakan pihak tidak bertanggungjawab membuang dan membakar ratusan kampit beras, sardin, tepung dan gula di sebuah tapak pelupusan sampah di Kuala Krau, Temerloh, Pahang yang mencetuskan tanda tanya banyak pihak.

Gambar longgokan barangan itu kini menjadi tular di media sosial dengan ia dipercayai dibuang sejak semalam, sebelum ramai meluahkan kemarahan kerana barang terbabit sepatutnya disumbangkan kepada golongan tidak berkemampuan.

Susulan itu ramai yang meminta pihak berkuasa supaya menyiasat segera dan mengambil tindakan ke atas pelakunya, manakala ada pengguna memaklumkan semua barang terbabit, sudah dibersihkan di kawasan tapak pembuangan berkenaan.

Bekas Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said kemudian tampil memaklumkan beliau mengambil tanggungjawab penuh di atas isu terbabit dan memohon maaf di atas kekhilafannya dalam memantau cara pelupusan barangan itu, dengan berkata ia disediakan menggunakan peruntukan peribadi sebelum Pilihan Raya Umum (PRU-15) pada 2022.

Menurut Ketua Umno Bahagian Kuala Krau itu, barangan terbabit dibuang di tempat pembuangan sampah berkenaan selepas ia didapati tercemar susulan penemuan beberapa bangkai tikus dalam stor simpanan.

Ujarnya, beras dan barangan itu juga dicemari bubuk atau kutu beras serta tidak sesuai diagihkan kepada orang ramai, menyebabkan ia dibuang situ.

Terdahulu, Ismail berkata, beliau menerima aduan daripada jiran yang memaklumkan mengenai bau busuk di tempat stor simpanan barang tersebut pada 5 April lalu. – 19 April, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Lazada’s Malaysian office not spared from major layoffs

Employees across various departments at Lazada Malaysia's office have allegedly been informed about an impending meeting with the company's human resources team in the next few days. 

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Related