KPDN, Kementerian Komunikasi bentuk jawatankuasa tangani isu royalti penggiat muzik

Pihak kerajaan mengambil maklum bahawa isu royalti merupakan salah satu komponen penting terhadap pembangunan industri kreatif di negara ini

2:14 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah membentuk satu jawatankuasa bersama bagi menangani isu royalti melibatkan golongan penggiat seni muzik tanah air.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, jawatankuasa itu turut melibatkan Kementerian Komunikasi dan ia susulan daripada kes anak kepada Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan isu melanjutkan royalti seniman agung itu sejak Mac tahun lalu yang telah dibincangkan Kabinet.

Pada masa yang sama beliau berkata, pihak kerajaan juga mengambil maklum bahawa isu royalti itu merupakan salah satu komponen penting terhadap pembangunan industri kreatif di negara ini.

“Kami mempunyai laporan task force dan penambahbaikan. Kita gabungkan dengan dapatan di peringkat komunikasi untuk kita nilai hala tuju yang terbaik.

“Kita menganggap bahawa bakat dan karya ini merupakan harta. Bakat dan karya ini merupakan sumber rezeki dan tanggungjawab kita adalah memastikan harta ini dapat terus mengalir daripada sumber rezeki kepada semua penggiat industri kita selagi mana karya dan bakat itu dimanfaatkan pengguna. Itu prinsipnya.

“Kita juga bergerak ke hadapan untuk melakukan pembaharuan agar dapat melindungi hak dan kepentingan penggerak industri kreatif,” katanya ketika ditemui di Majlis Sumbangan Rahmah Industri Muzik 2024 anjuran Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).

Armizan bagaimanapun tidak menafikan bahawa akan wujudnya pelbagai kekangan apabila tempoh royalti penggiat seni muzik ini dilanjutkan.

“Ini disebabkan ia melibatkan pelbagai pihak terutama stakeholders di dalam industri kreatif itu sendiri. Kita ada pelbagai perwakilan sama ada komposer, penulis lirik, syarikat rakaman, penghibur dan komponen pengguna pun ada pandangan mereka sendiri.

“Bagi saya, terdapat perbezaan pada perkara-perkara tertentu, tapi akhirnya pendekatan kita adalah untuk melihat titik persamaan kerana ini melibatkan kehidupan manusia.

“Jadi saya fikir, semua pihak perlu bergerak untuk melihat mana titik persamaan yang ada yang perlu kita gerakkan untuk penambahbaikan tersebut,” katanya.

Menurut beliau, KPDN sendiri telah membentuk satu task force yang diketuai Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Roziah Abudin untuk melihat apakah bentuk penambahbaikan yang perlu dilaksanakan terhadap polisi dan juga perundangan berkaitan royalti.

“Ketika itu, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub (menteri) dan saya pula berada di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Alhamdullillah, setelah setahun saya difahamkan task force tersebut telah menyiapkan laporan yang mengandungi ulasan dan juga mengumpulkan syor-syor daripada pihak berkepentingan,” katanya.

Beliau turut memuji usaha dilakukan RIM dan Public Performance Malaysia (PPM) dalam menganjurkan program sumbangan amal rahmah ini untuk artis.

Majlis Sumbangan Rahmah Industri Muzik 2024 (SRIM) menyaksikan penyerahan sumbangan kepada 21 penerima terdiri daripada pencipta lagu, penghibur, kakitangan syarikat rakaman dan wartawan yang berdepan kesukaran hidup – Faiz Mohamed/Scoop, 23

“Mereka adalah penggerak industri kreatif yang menghadapi kesukaran hidup, isu kesihatan dan sebagainya, saya melihat bahawa inisiatif ini adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk kita meluaskan lagi agenda sumbangan rahmah iaitu agenda kerajaan yang bukan hanya digerakkan kerajaan semata-mata tetapi juga pihak-pihak lain,” katanya.

Majlis Sumbangan Rahmah Industri Muzik 2024 (SRIM) menyaksikan penyerahan sumbangan kepada 21 penerima terdiri daripada pencipta lagu, penghibur, kakitangan syarikat rakaman dan wartawan yang berdepan kesukaran hidup.

Antaranya, penyanyi dan pemuzik seperti Roy Rauzan, Fredo Flybaits, Shuib Freedom, Isma Aliff, Azman Warren, Lord Lokman, Raja Zainal Bumiputra Rockers, Cico Harahap, Abass Abu Bakar, S Rohani, Toki, Mel Wings, Rosmansah, Zydee One Nation Emcees, Jessy dan Iskandar Spring.

Turut menerima adalah wartawan hiburan, Nas Ahmad, Ridzuan Abdul Rahman dan Huzz Kamaludin serta pegawai perhubungan, Rina Baharin dan Sariah Idris. – 23 April, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Ex-Lazada top execs create support groups for retrenched staffers

Several former top executives and managers of embattled Lazada have started unofficial support groups to help recently retrenched colleagues in Southeast Asia.

Man gets 6 months’ jail, RM12,000 fine for offensive Facebook post on ‘Allah’-printed socks

The second man charged with an offensive Facebook post over the “Allah”-printed socks issue was today sentenced to six months’ jail and fined RM12,000 by the sessions court here.

Related