‘Kucing cari Sivasutan dalam bilik hari ini,’ kata bapa mangsa nahas helikopter Lumut

Thanjappan berkata anaknya akan memberi makan seekor kucing peliharaannya setiap kali sebelum dan selepas balik kerja

7:01 PM MYT

 

SITIAWAN – ‘‘Dia sangat sayangkan kucing, malah hari ini kucing naik tangga cari dia dalam bilik,’’ kata M. Thanjappan, 61 ketika menceritakan mengenai anaknya, mendiang T Sivasutan yang terkorban dalam nahas helikopter di Lumut, semalam.

Thanjappan ketika ditemui Scoop memberitahu anaknya yang berpangkat Leftenan itu akan memberi makan seekor kucing peliharaannya setiap kali sebelum dan selepas balik kerja.

Sambil menyifatkan mendiang sebagai ‘kegembiraan’ keluarga, Thanjappan berkata Sivasutan merupakan anak yang terbaik dan disayangi ramai.

“Dia sayangkan kucing. Sebelum masuk rumah akan bagi makanan pada kucing, sebelum keluar pun akan cari. Hari ini pun kucing naik tangga, cari dia dalam bilik,’’ katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Serdang Jaya, di sini hari ini.

Menurut Thanjappan yang juga seorang pesara guru, mendiang yang juga satu-satunya anak lelaki beliau, menjadi model dan inspirasi kepada keluarga serta saudara-maranya.

“Dia satu-satunya anak lelaki yang soleh, menjadi model dan inspirasi pada orang lain.

“Sentiasa ikut peraturan dan arahan yang ditetapkan di rumah ini. Pergi keja, pergi kuil dan baru tiga bulan berkahwin,’’ katanya.

Sivasutan, yang baru tiga bulan mendirikan rumah tangga, merupakan antara mangsa nahas helikopter Lumut pada Selasa.

Dia berkahwin dengan Dr. Harshini, 29, yang juga seorang doktor gigi pada 25 Januari lalu. Jasad mendiang akan disemadikan tengahari esok.

Dalam keadaan sedih, Thanjappan turut memberitahu, ketika di awal perkhidmatannya, Sivasutan pernah bertanyakan kepada dia dan isterinya, R. Parameswari, 60, mengenai pengkhususan yang perlu dipilihnya sama ada menjadi juruterbang atau kapten kapal selam (submarine).

Mendiang, katanya, memilih menjadi juruterbang kerana ibunya bimbang dia terlibat kemalangan dalam laut sekiranya bertugas dalam kapal selam.

“Saya ingat lagi sebelum ini dia ada bertanya saya dan isteri, nak pilih jadi pilot atau submarine.

“Kemudian isteri saya cakap pilih helikopter (juruterbang) sebab takut tekanan dalam air, boleh menyebabkan kemalangan.

“Tapi kini, ini pula takdirnya,” katanya yang reda dengan kematian anak kesayangannya itu. – 24 April, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Ex-Lazada top execs create support groups for retrenched staffers

Several former top executives and managers of embattled Lazada have started unofficial support groups to help recently retrenched colleagues in Southeast Asia.

Related