Warga asing boleh beli minyak masak peket subsidi, peruncit hanya ikut arahan: Ameer Ali Mydin

Sebelum ini, terdapat kekecohan di sebuah Mydin apabila barangan itu didakwa dijual kepada warga asing, sehingga rakyat tempatan tidak dapat membelinya

8:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Masih tiada larangan dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk peruncit menjual minyak masak peket bersubsidi kepada mana-mana individu.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin berkata, susulan ketetapan itu, semua pengguna termasuk warga asing boleh membeli minyak masak peket bersubsidi tidak melebihi bilangan ditetapkan.

Katanya, peruncit juga terikat dengan arahan supaya mempamerkan produk, termasuk minyak masak peket bersubsidi dan tidak dibenarkan menyorok produk berkenaan.

Datuk Ameer Ali Mydin penetapan kaedah penjualan produk peruncit bergantung kepada arahan KPDN dari semasa ke semasa – Halim Salleh/Scoop, 26 April, 2024

“Kita diarahkan oleh KPDN untuk menjual minyak masak (peket bersubsidi) kepada sesiapa sahaja.

“Kita tak ada arahan tak boleh jual pada warga asing dan kalau individu tu datang, daripada wajah saya tak tahu dia rakyat Malaysia sahaja ke atau dia foreigner (warga asing) ke.

“Saya tak boleh minta IC (kad pengenalan), saya tak ada kuasa minta IC mereka, tetapi apa saya ikut adalah sebagai peruncit, saya diarahkan letak apa yang kita ada (di rak) dan setiap orang tidak boleh ambil melebihi had ditetapkan untuk minyak masak ini sahaja, lain barang tak ada masalah,” katanya kepada Scoop.

Beliau berkata demikian susulan video tular di media sosial memaparkan kekecohan di sebuah premis Mydin dipercayai di Johor, selepas seorang pelanggan yang juga rakyat Malaysia, tidak berpuas hati apabila warga asing dibenarkan membeli minyak masak peket bersubsidi.

Menerusi rakaman video itu, kedengaran wanita terbabit bertanya kepada seorang pekerja pasar raya berkenaan mengapa warga asing dbenarkan membeli minyak masak peket bersubsidi, tetapi rakyat Malaysia tidak dapat membelinya dengan alasan barangan terbabit tiada.

Kecoh di media sosial sebelum ini apabila tular sebuah video yang dipercayai dirakam di sebuah cawangan Mydin, memaparkan seorang wanita warga Malaysia mempersoalkan mengapa warga asing boleh membeli minyak peket bersubsidi. Gambar sekadar hiasan. – Gambar Bernama, 26 April, 2024

Lebih membuatkannya tidak berpuas hati apabila pekerja itu dan beberapa warga asing yang didakwa mendapat minyak masak peket bersubsidi terbabit, tidak menjawab soalan mengapa serta dari mana mereka mendapat produk berkenaan.

“Dia warga asing dapat minyak masak peket ya, tapi kenapa kita warga Malaysia tak dapat minyak masak?

“Saya nak tanya minyak masak peket mana, tak ada, kenapa orang asing boleh dapat minyak masak.

“Tolong jawab, saya report (lapor), saya rekod ni, saya orang Malaysia, saya ada IC,” kata wanita itu.

Mengulas isu terbabit, Ameer berkata, pelanggan itu atau mana-mana individu yang berdepan sebarang isu, boleh mengemukakan aduan rasmi kepada pihak Mydin menerusi talian khidmat pelanggan 1-300-30-8786.

Pada masa sama, beliau berkata, penetapan kaedah penjualan produk peruncit bergantung kepada arahan KPDN dari semasa ke semasa.

Menurutnya, sebagai contoh, kementerian itu pernah mengeluarkan arahan berkaitan penjualan gula yang menetapkan setiap pengguna hanya dibenarkan membeli beberapa peket, justeru peruncit harus mematuhinya.

KPDN sebelum ini pernah mengeluarkan arahan berkaitan penjualan gula yang menetapkan setiap pengguna hanya dibenarkan membeli beberapa peket, justeru, kata Ameer, peruncit harus mematuhinya. Gambar sekadar hiasan – Gambar Scoop, 26 April, 2024

“Dalam isu minyak masak peket kita menuruti apa diarahkan, kalau ada arahan lain, minta KPDN umumkannya, contoh kita (peruncit) kena minta IC ke baru lah kita boleh ikut.

“Dulu gula tapi sekarang tak ada, jadi kini gula berapa pun pengguna boleh beli, tiada had.

“Sebarang kesulitan amatlah dikesali dan pihak kami berharap agar kerajaan dapat mengemukakan satu mekanik atau dasar yang memberi kelegaan kepada pengguna,” katanya.

Terdahulu, pada Januari lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali memaklumkan, tiada larangan untuk warga asing membeli minyak masak peket bersubsidi, namun mereka tertakluk kepada had pembelian sama seperti rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, kementerian ada menerima cadangan berkaitan larangan untuk menjual minyak masak peket bersubsidi kepada warga asing. – 26 April, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Tragic thunderstorm: one dead after huge uprooted tree falls on Jalan Sultan Ismail

Fire and Rescue Dept confirms one person died, another sustained injuries, while 17 cars were damaged

Related