‘Digelar pembunuh dan Israel’ pekerja KFC dedah sering diganggu

Pengurus restoran yang enggan dikenali itu berkata mereka terpaksa ‘memekakkan’ telinga meskipun menerima cacian dan sindiran

1:00 PM MYT

 

SHAH ALAM — Seorang pengurus restoran makanan segera KFC mendedahkan bagaimana dia dan pekerja restoran itu sering diganggu golongan pemboikot yang ‘membuat kacau’ di premis mereka.

Ketika mendedahkannya kepada Scoop, beliau yang enggan dikenali berkata mereka terpaksa ‘memekakkan’ telinga meskipun menerima cacian dan sindiran.

Malah, beliau yang bertugas di KFC di sebuah pusat beli belah di sini berkata mereka pernah mendapat nota tertulis ‘pembunuh’ dan Israel yang diletakkan di hadapan kedai.

“Banyak kali saya dan pekerja yang lain diganggu, mula-mula dia masuk premis ingat nak beli makan macam orang lain, tapi tiba-tiba dia kata ‘korang tak terfikir ke nak cari kerja lain’ dengan nada seperti memerli.

“Tapi kami hanya pekakkan telinga dan ambil pendekatan abaikan sahaja sebab kami sudah diajar untuk sentiasa bersikap profesional ketika sedang bekerja,’’ katanya ketika mengimbau kejadian yang berlaku sejak beberapa bulan lalu.

Pengurus restoran yang bertugas di KFC sebuah pusat beli-belah di sini berkata mereka pernah mendapat nota tertulis ‘pembunuh’ dan Israel yang diletakkan di hadapan kedai. Gambar sekadar hiasan – Azim Rahman/Scoop, 1 Mei, 2024

Beliau mengulas mengenai penutupan sementara cawangan terpilih KFC akibat ‘keadaan ekonomi yang mencabar’. Ia disahkan QSR Brands (M) Holdings Bhd dan KFC Malaysia.

Mengulas mengenai penutupan operasi KFC di Shah Alam, beliau berkata sebanyak tujuh cawangan ditutup sementara dan beliau mengharapkan keadaan akan pulih seperti sediakala.

“Saya duda anak satu, saya ada tanggungan, jujur saya cakap bulan ini saya tak mampu beri wang pada mak saya. Memang betul terasa, saya ada mulut nak kena suap. (Bagi saya) nak boikot boleh tapi KFC Malaysia ini di bawah JCorp yang merupakan syarikat tempatan, kita tengok berapa ramai budak Melayu kerja di sini,’’ katanya yang sudah mula mencari pekerjaan baharu.

Sementara itu, jiran-jiran yang berniaga di sebelah restoran KFC di Shah Alam sedih dengan nasib pekerja di situ dan berharap mereka akan menemui sinar baru.

Rosizwan Arifin, 37, yang menjual popia goreng di kios berhampiran outlet KFC di Giant mengakui sedih dan simpati dengan nasib pekerja di situ susulan penutupan premis berkenaan.

Rosizwan Arifin, seorang peniaga di kios berhampiran KFC Giant Shah Alam mengakui sedih dan simpati dengan nasib pekerja di situ susulan penutupan premis berkenaan – Azim Rahman/Scoop, 1 Mei, 2024

“Saya kasihan pada pekerja-pekerja sebab saya pun berniaga dalam bidang F&B (food and beverage) jadi saya faham situasi itu. Sebelum ini, saya ada berborak dan mereka (pekerja KFC) kata akan dipindahkan ke cawangan lain, mungkin rezeki mereka setakat di sini sahaja.

“Saya perasan sejak musim boikot (bermula Oktober tahun lalu), memang makin lama makin kurang orang makan dan beli di KFC. Jadi, nasihat saya kepada pekerja, selepas ini mungkin mereka boleh explore benda lain (cari kerja lain) sebab rezeki ada di mana-mana,” katanya.

Sementara itu, peniaga rojak dan cendol di Kompleks PKNS, Mohd Ariff Karim Ghani, 41, pula berkata, dia ‘kehilangan’ rakan-rakan yang baik memandangkan kedainya terletak berdepan dengan outlet di situ.

Peniaga rojak dan cendol di Kompleks PKNS, Mohd Ariff Karim Ghani pula berkata, dia ‘kehilangan’ rakan-rakan yang baik memandangkan kedainya terletak berdepan dengan outlet KFC di situ – Azim Rahman/Scoop, 1 Mei, 2024

“Saya sedih bila KFC tutup sebab pekerja-pekerja dia pun bagus tapi mereka cakap masih bekerja di cawangan lain, bukan dibuang kerja. Mudah-mudahan dipermudahkan rezeki mereka.

“KFC cawangan sini sebelum bulan puasa lagi memang dah makin kurang orang datang makan sebab majoriti penduduk di sini memang orang kita (Melayu). Pada saya, tindakan boikot itu adalah pendapat masing-masing, ada orang yang suka mamak, ada orang suka makan rojak, jadi kita tidak boleh paksa orang (sama ada untuk boikot atau tidak),” katanya.

Pekerja kios makanan di Plaza Alam Sentral, Nur Afrina Syahzanani Ahmad Shahrin, 18, pula berkata, sebelum KFC cawangan sini ditutup, keadaannya memang sudah lengang dan sunyi daripada pelanggan.

Pekerja kios makanan di Plaza Alam Sentral, Nur Afrina Syahzanani Ahmad Shahrin pula berkata, sebelum KFC cawangan di sini ditutup, keadaannya memang sudah lengang dan sunyi daripada pelanggan – Azim Rahman/Scoop, 1 Mei, 2024

Menurutnya, tindakan boikot terhadap KFC mungkin disebabkan ada pelbagai alternatif lain yang boleh dijadikan pilihan orang ramai.

“Sebelum tutup, saya tengok memang dah tak ramai orang yang datang dan keadaan lengang dan sunyi daripada pelanggan. Saya tidak kisah kalau KFC tutup sebab ada alternatif lain, tapi (lain ceritanya) kalau pekerja terpaksa berhenti sebab orang boikot.

“Bagaimana dengan orang yang dah lama bertahun-tahun kerja dengan KFC, dah dapat pangkat manager bagaimana dia nak sara keluarga, yang itu kita boleh faham,” katanya. – 1 Mei, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Lazada’s Malaysian office not spared from major layoffs

Employees across various departments at Lazada Malaysia's office have allegedly been informed about an impending meeting with the company's human resources team in the next few days. 

Ibu Zayn Rayyan ‘tinggalkan’ media sosial, tak tahan komen jahat netizen kaitkan dengan pembunuhan

Menurut Zahari Mohd Reba, menantunya itu masih lagi trauma dan terkesan di atas kehilangan Zayn Rayyan, yang ditemukan mati dibunuh di saliran air kira-kira 100 meter dari kediaman mereka di Apartmen Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember tahun lalu

Related