HEADLINES

Cuba kelirukan geran bantuan kerajaan sebagai pinjaman, Ramanan minta pengundi jangan terpedaya

Beliau memberi contoh program Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga RM30 juta yang diperuntukkan bagi komuniti India dan penambahan RM30 juta melalui Amanah Ikhtiar Malaysia

6:38 PM MYT

 

KUALA KUBU BAHARU – Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan menyelar tindakan pembangkang yang cuba mengelirukan pengundi kononnya geran bantuan yang disalurkan oleh kerajaan sebenarnya adalah pinjaman.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR berkata, sekiranya amalan fitnah terus dijadikan modal berkempen, ia hanya merosakkan masyarakat.

Ramanan memberi contoh program Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) berjumlah RM30 juta yang diperuntukkan bagi komuniti India dan penambahan RM30 juta melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

“Jadi saya tak faham, bila kita umum bantuan kepada komuniti India, ada pemimpin India, mengatakan bahawa ini adalah pinjaman dan bukannya geran.

“Fitnah (hanya) akan merosakkan seluruh komuniti bukan sahaja komuniti India, malah Cina dan Melayu, ini harus dihentikan.

“Apa pun yang diumum ataupun dibuat oleh kerajaan selama setahun lebih ini semuanya tidak betul ke? Semuanya susah, jadi apa yang bagus?,’’ soalnya.

Beliau berkata demikian ketika mengiringi isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada program Sepetang Bersama Kak Wan di sini hari ini.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak pernah meminggirkan kaum India, malah pelbagai inisiatif sudah dilaksanakan bagi memperkasa komuniti berkenaan.

Anwar berkata, antara bantuan khusus buat kaum itu adalah menerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dengan peruntukan RM100 juta bagi program pembangunan sosio-ekonomi masyarakat India manakala sejumlah RM30 juta diperuntukkan di bawah Tekun dalam Belanjawan 2024.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata, pihak lawan juga sepatutnya menumpukan kepada isu setempat di KKB serta masalah yang dibangkitkan oleh penduduk

“Kita tengok banyak yang mengambil kesempatan di PRK ini untuk bercakap pasal isu peringkat kebangsaan, membuat fitnah, pasal pimpinan, pasal program yang dijalankan, berkaitan dengan bantuan yang diberikan.

“Jadi kita kena fokuslah kepada apa yang berlaku di KKB terutamanya kehendak pengundi,” katanya.

Selain itu mengulas kritikan terhadap kerajaan, beliau berkata, Kerajaan Perpaduan perlu diberi ruang untuk melaksanakan mandat kepada rakyat.

“Mengambil kira kita baharu setahun lebih sebagai kerajaan, berapa banyak pun yang boleh kita capaikan?.

“Jadi kita bagi ruang, mandat diberikan untuk 5 tahun bagi Perdana Menteri, 5 tahun bagi dia fokus, bagi dia jalankan kerja. Jangan terlalu cepat membuat rumusan,” katanya. – 2 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related