HEADLINES

Pembatalan PJD Link: Kerajaan Selangor tingkat pengangkutan awam tangani masalah trafik di Taman Medan

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pengangkutan awam dipertingkatkan dengan menambah (kekerapan) perkhidmatan Transit Aliran Bas (BRT) dan sebagainya

12:06 PM MYT

 

SHAH ALAM — Kerajaan Selangor akan memberi tumpuan untuk mempertingkatkan pengangkutan awam sebagai alternatif kepada penduduk di Taman Medan selepas pembatalan pembinaan projek Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway (PJD Link).

Bercakap pada sidang media di sini hari ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri akan meneliti pilihan pengangkutan awam lain bagi membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan itu.

“Kami mempertingkat pengangkutan awam khususnya dengan menambah (kekerapan) perkhidmatan Transit Aliran Bas (BRT) dan sebagainya,” katanya.

PJD Link adalah lebuh raya berkembar (empat lorong) sepanjang 25.4 kilometer yang akan bermula selepas Plaza Tol Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di Lebuhraya SPRINT, Damansara dan berakhir di persimpangan Lebuhraya Bukit Jalil.

Projek infrastruktur utama ini bertujuan untuk menambah baik kesesakan lalu lintas dan memenuhi pertumbuhan kenderaan masa hadapan di kawasan Greater Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

Apabila siap kelak, PJD Link Expressway dijangka memainkan peranan penting dalam menyuraikan kesesakan lalu lintas kerana ia menyediakan sambungan utama dengan enam lebuh raya utama termasuk NKVE, Lebuhraya SPRINT, Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Pantai Baru (NPE), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Lebuhraya Bukit Jalil.

PJD Link menandatangani perjanjian konsesi dengan kerajaan pada 5 April tahun lalu.

Cadangan untuk projek Persekutuan di atas tanah negeri itu mendapat kelulusan secara prinsip daripada Jemaah Menteri pada November 2017.

Kabinet memutuskan untuk menghentikan pembinaan projek lebuh raya itu bulan lepas berikutan bantahan daripada kawasan kejiranan di Petaling Jaya.

Bagaimanapun, terdapat juga sokongan untuk pembinaan projek itu daripada komuniti di Taman Medan, Kinrara, Kampung Kayu Ara dan Kampung Melayu Petaling Jaya.

Kumpulan perniagaan, termasuk kontraktor Bumiputera berkata, mereka menyokong projek bernilai RM4.4 bilion itu kerana ia bakal mewujudkan sekitar 12,000 pekerjaan.

Scoop melaporkan bahawa kerajaan Persekutuan mungkin perlu membayar pampasan sehingga RM100 juta kepada pemaju berikutan keputusan membatalkan projek itu.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai perkara itu hari ini, Amirudin secara ringkas berkata: “Itu cadangan wakil rakyat (ADUN Taman Medan) Dr Afif Bahardin untuk menyusahkan kerajaan negeri.” — 3 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Govt has settled RM42bil of 1MDB debt, total obligations exceed RM50bil: Anwar

Anwar reveals over RM9 billion in remaining debt, with government funds covering the shortfall

Jana Wibawa: Muhyiddin’s trial continues as appeals court rejects bid to reinstate acquittal

Five-judge panel dismisses Bersatu president’s application to review findings which led to four charges related to RM232.5 mil in bribes being reinstated in Feb

Related