Selangor FC tarik diri Piala Sumbangsih

Keputusan sukar itu dibuat selepas penelitian dan perbincangan terperinci, rentetan serangan serta ancaman dialami beberapa pemain serta pegawainya

12:54 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Penantian sekian lama Selangor FC ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024, tidak kesampaian apabila pengurusan kelab bola sepak itu mengesahkan pasukan berkenaan menarik diri.

Keputusan mengejutkan itu diumumkan hanya beberapa jam selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan perlawanan antara Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) akan diteruskan Jumaat ini di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

MFL membuat keputusan awal itu selepas menolak permintaan Selangor FC untuk menangguhkan perlawanan ke tarikh lain.

“Selangor FC mengambil maklum keputusan MFL untuk tetap meneruskan perlawanan Piala Sumbangsih yang dijadualkan pada 10 Mei ini.

“Setelah penelitian dijalankan dan perbincangan terperinci dengan pelbagai pihak, rentetan daripada insiden jenayah serta ancaman yang baru berlaku melibatkan beberapa pemain serta pegawai pasukan dalam tempoh hanya 72 jam, pihak kelab terpaksa mengambil keputusan amat sukar untuk tidak hadir ke Perlawanan Piala Sumbangsih 2024 yang sudah lama kelab ini nantikan,” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Keputusan mengejutkan itu diumumkan hanya beberapa jam selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan perlawanan antara Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) akan diteruskan Jumaat ini – Gambar Facebook Selangor FC, 9 Mei, 2024

Pengurusan Selangor FC memaklumkan, berdasarkan keadaan semasa yang tidak menentu, kelab bola sepak itu berpendapat keselamatan pasukan adalah perkara paling utama.

“Kami memandang serius segala bentuk keganasan dan ancaman, selain tidak akan berkompromi dengan sebarang isu berkaitan keselamatan pasukan.

“Segala kesulitan amat dikesali,” katanya.

Terdahulu, tiga pemain bola sepak negara berdepan serangan dan keganasan dari beberapa individu berbeza, masing-masing di lokasi berlainan.

Pada 2 Mei lalu, pemain Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid disamun dalam kejadian di Kuala Terengganu, sehingga cedera di kepala, kaki kiri serta lengan kiri, selain kerugian wang ribuan ringgit dan dihantar ke unit kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Dalam kejadian itu, Akhyar, 25, yang baharu keluar daripada kenderaan dipukul dengan senjata dipercayai cota, sebelum suspek dikatakan merampas dompet serta telefon bimbit milik mangsa dan melarikan diri.

Kurang seminggu kemudian, pemain Selangor FC, Faisal Halim menjadi mangsa simbahan asid ketika berada di kawasan sebuah pusat beli-belah di Damansara, Petaling Jaya, menyebabkannya mengalami kelecuran tahap 4 di leher, bahu, lengan dan dada.

Pemain berusia 26 tahun itu terpaksa menjalani dua pembedahan dan kini berada di pusat perubatan swasta.

Manakala, pemain JDT, Safiq Rahim diserang dua lelaki tidak dikenali menaiki motosikal yang memecahkan cermin belakang keretanya menggunakan tukul besi di Johor Bahru, semalam.

Susulan insiden terbabit, Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak JDT, Alistair Edwards berkata, pasukan itu meningkatkan lagi keselamatan setiap pemainnya, selain menasihatkan mereka berhati-hati dengan persekitaran dan hantaran mereka di media sosial pada setiap masa. – 9 Mei, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Where is Sabah AG Nor Asiah on 40% grant revenue issue, ask state advocates

Former assemblyman says AG should be at the forefront in advocating for Sabah's rights

Saya juga manusia, punya hati: Ning Baizura sedih, terguris diri digelar Kristian, keluarga dikritik

Jelas Ning, beliau kecewa kerana daripada satu perkara kecil, ia diperbesarkan segelintir netizen, termasuk menyerang Instagramnya dengan kata-kata hinaan

Related