Banjir: Tiada istilah perancangan tidak sistematik, tanah di Selangor dibangun ikut persetujuan PBT, jabatan teknikal

Sebarang permohonan pembangunan tanah yang diterima perlu melalui sistem One Stop Centre (OSC) Online terlebih dahulu bagi tujuan pengawalan pembangunan

10:00 AM MYT

 

SHAH ALAM – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor menafikan dakwaan masalah banjir di negeri itu berlakunya disebabkan perancangan yang tidak sistematik dan sembarangan antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan jabatan atau agensi teknikal terlibat.

Bercakap kepada Scoop, pengarahnya, Nasser Salim berkata, perancangan melibatkan pembangunan dan pembukaan tanah adalah melalui persetujuan bersama antara PBT dan jabatan teknikal negeri.

Malah katanya, sebarang permohonan pembangunan tanah yang diterima oleh JPS Selangor perlu melalui sistem One Stop Centre (OSC) Online terlebih dahulu bagi tujuan pengawalan pembangunan yang ditubuhkan dan diurus selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Kawalan ke atas permohonan pembangunan tanah dibuat oleh PBT dengan merujuk kepada Rancangan Tempatan (RT) yang mengandungi tataatur pembangunan dan cadangan guna tanah berskala besar bagi sesuatu kawasan, dilengkapi dengan pernyataan bertulis menerangkan dasar dan butiran lanjut mengenai pembangunan tersebut.

“Bila ada projek pembangunan dipohon, ia akan datang ke setiap agensi termasuk JPS. JPS akan melaksanakan dari segi kajian banjir dan ulasan teknikal manakala agensi lain berkaitan memainkan peranan masing-masing supaya setiap pembangunan itu mengikut syarat ditetapkan.

Menurut Nasser Salim, kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM1.695 bilion kepada JPS Selangor untuk melaksanakan lima Projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi (TBBT) di negeri itu – Alif Omar/Scoop, 9 Mei, 2024

“Pemaju perlu memenuhi syarat sebelum diluluskan oleh OSC dan dibawa ke jawatankuasa perancang negeri yang dipengerusikan Menteri Besar Selangor. Bila sampai peringkat itu, maknanya setiap jabatan sudah meneliti keseluruhannya. Jadi memang kita merancang, setiap agensi sentiasa berhubung dan saling bekerjasama untuk melihat projek itu berjalan lebih sistematik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif bersama Scoop di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Nasser berkata, masalah banjir yang berlaku berpunca daripada hujan lebat, limpahan air sungai, ketiadaan sistem perparitan yang sempurna dan pertembungan hujan lebat dengan air pasang besar.

Menurutnya, kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM1.695 bilion kepada JPS Selangor untuk melaksanakan lima Projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi (TBBT) yang juga pelan jangka panjang untuk mengatasi kejadian banjir lebih serius di negeri itu.

“Projek itu akan memberikan penyelesaian secara menyeluruh melibatkan daerah Klang, Petaling dan Sepang.

“Selain itu, projek penstabilan dan pengukuhan tebing, projek menaik taraf saliran dan projek berkaitan dengan fenomena air pasang besar juga amat penting.

“(Fenomena air pasang) Itu akan mengakibatkan banjir di kawasan berdekatan pantai. Jadi kita harus ada projek di situ supaya air laut tidak masuk ke kawasan berdekatan,” katanya.

JPS Selangor turut mengambil langkah pengurusan terbaik dalam mengatasi masalah banjir di negeri itu dengan mensyaratkan keperluan pembinaan tadahan air berdasarkan Purata Selang Ulangan 100 ARI (Average Recurrence Interval) bagi setiap permohonan pembangunan tanah – Sairien Nafis/Scoop, 10 Mei, 2024

Memandangkan pelaksanaan projek jangka panjang ini mengambil masa agak lama, Nasser berkata, JPS bekerjasama dengan kerajaan negeri merangka projek sederhana dengan memberi tumpuan kepada 79 kawasan hotspot banjir di Selangor.

“Untuk kawasan hotspot kita akan fokus 79 kawasan itu yang boleh kata setahun, dua tiga kali berlaku banjir di situ.

“Jadi meskipun peruntukan diperolehi agak terhad, JPS sedaya upaya mengurangkan risiko kejadian banjir yang berlaku. Pada masa sama, kita akan menggerakkan pasukan untuk sentiasa memantau apa jua keadaan berlaku,” katanya.

Beliau berkata, JPS Selangor turut membekalkan 124 rumah pam dan 123 unit pam air bergerak untuk kerja-kerja segera seperti di Meru yang berlakunya air bergenang.

Katanya, pam tersebut akan membantu mempercepatkan aliran air keluar dari kampung-kampung atau kawasan perumahan terus ke sungai dan laut.

Dari segi pemantauan yang dijalankan oleh JPS ke atas sistem perparitan, Nasser berkata, JPS Selangor mengambil tindakan segera melaksanakan kerja baik pulih atau saliran berdasarkan aduan yang diterima.

“JPS Selangor turut melaksanakan kerja penyelenggaraan secara berkala tahunan untuk memastikan kapasiti saliran termasuklah sungai berada pada tahap optimum sebelum musim Monsun Timur Laut,” katanya.

JPS Selangor turut membekalkan 124 rumah pam dan 123 unit pam air bergerak untuk kerja-kerja segera seperti di Meru yang berlakunya air bergenang. Gambar sekadar hiasan – Gambar Bernama, 10 Mei, 2024

Pada masa sama, Nasser berkata, beberapa sistem amaran banjir sudah dibangunkan, termasuk sistem siren dan penghantaran maklumat melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), untuk memberi peringatan kepada penduduk sekira berlaku banjir.

“Kita sentiasa bersedia. Kita dah tahu bila kemuncak masa akan berlakunya banjir sistem kita dah siap diselenggara.

“Bila berlaku kejadian banjir kita tengok balik, mana (sistem) dah rosak kita baiki melalui peruntukan yang kita mohon dari kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan,” katanya.

Jelasnya lagi, JPS Selangor turut mengambil langkah pengurusan terbaik dalam mengatasi masalah banjir di negeri itu dengan mensyaratkan keperluan pembinaan tadahan air berdasarkan Purata Selang Ulangan 100 ARI (Average Recurrence Interval) bagi setiap permohonan pembangunan tanah.

Katanya, reka bentuk tadahan tersebut juga harus dipertimbangkan sebagai parameter utama dalam penyediaan pelan induk saliran yang terperinci di kawasan pemajuan yang terlibat.

“Apabila kita convert (tukar) pembangunan itu, maka peranan kita adalah untuk menentukan aliran sebelum pembangunan dan aliran selepas pembangunan adalah sama.

“Jadi kita syaratkan kepada pemaju untuk melaksanakan reka bentuk yang boleh menampung purata selang ulangan 100 tahun ARI. Maknanya kita ambil tahap kejadian banjir tinggi untuk mengelakkan (akan) berlakunya banjir,” katanya. – 10 Mei, 2024

Topics

Hangat

Saya juga manusia, punya hati: Ning Baizura sedih, terguris diri digelar Kristian, keluarga dikritik

Jelas Ning, beliau kecewa kerana daripada satu perkara kecil, ia diperbesarkan segelintir netizen, termasuk menyerang Instagramnya dengan kata-kata hinaan

Iranian President Ebrahim Raisi confirmed dead as burnt helicopter wreckage found

No survivors have been found since crashed helicopter site was discovered, says Iranian Red Crescent Society

Two bullets, profane letter in my mailbox: Teresa Kok lodges report on death threat

Seputeh MP shares her distress after discovering threatening note while retrieving her mail yesterday; police have inspected the scene at her residence

Related