HEADLINES

Polis siapkan fotofit suspek kes simbah asid Faisal Halim

Razarudin memberi jaminan pihaknya akan meneruskan siasatan walaupun kes ini mengambil masa agak lama

11:30 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Polis dalam proses menghasilkan lakaran wajah (fotofit) suspek terlibat dalam kes simbah asid pemain skuad kebangsaan Muhammad Faisal Abdul Halim atau dikenali Faisal Halim di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya minggu lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata proses berkenaan dilakukan hari ini berdasarkan hasil siasatan dan keterangan saksi serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.

“Hari ini kita buat fotofit dan daripada situ mungkin akan kumpulkan maklumat.

“Mungkin sudah ada maklumat dapat dikumpulkan melalui fotofit itu dan menerusi kesan cap jari yang akan diambil (di lokasi kejadian) untuk kita kaji,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Austisme di Pusat Autisme Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini hari ini.

Razarudin memberi jaminan pihaknya akan meneruskan siasatan walaupun kes ini mengambil masa agak lama seperti siasatan membabitkan kes pembunuhan kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin di Damansara pada tahun lepas .

“Kita mengambil serius kes ini…akan teruskan siasatan macam kita menyiasat kes Zayn Rayyan, walaupun mungkin ambil masa panjang dan lama, kita akan buat (siasatan).

“Melalui risikan dan siasatan, barulah kita mengambil tindakan untuk menangkap suspek yang kita kenal pasti. Kita pun perlu ada bukti, tidak boleh tangkap orang sesuka hati,” katanya.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata setakat ini pihaknya telah merakam keterangan lebih daripada  12 individu termasuk Faisal berhubung kejadian tersebut.

“Keterangan Faisal sudah dirakam awal selain lebih 12 saksi lain termasuk keluarga, ipar mangsa, pengawal keselamatan (di lokasi kejadian) dan doktor serta beberapa saksi lain yang berkepentingan untuk siasatan kita,” katanya.

Pada 5 Mei lepas, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali menyebabkan kecederaan pada badannya.

Beliau dikatakan diserang ketika berada di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Kota Damansara, Petaling Jaya, kira-kira 5 petang. – 11 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

[WATCH] GP fee hike may finally end clinic medicine markups: Dr Thirunavukarasu

Malaysian Medical Association president says decades of suppressed consultation rates forced clinics to rely on medicine sales — but warns patients will still bear rising healthcare costs despite long-overdue reforms

Right-wing commentator Ian Miles Cheong under police scrutiny

According to authorities, investigation focuses on alleged social media posts that could incite public unrest

Related