◉ HEADLINES

Permaisuri Agong lawat, tanya khabar Koperal Hasif

Anggota polis itu yang kini dirawat di HSI akibat cedera dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, dilihat mengesat air mata ketika dikunjungi Raja Zarith Sofiah

6:18 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan berangkat melawat mangsa cedera dalam kes serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Koperal Mohd Hasif Roslan yang kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda di HSI disambut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha kerajaan negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani.

Menerusi foto dikongsikan di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baginda mengaminkan doa untuk kesembuhan dan kesejahteraan Hasif.

Raja Zarith Sofiah turut mengurniakan sumbangan peribadi daripada baginda dan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim kepada Hasif.

Ketika lawatan itu, baginda meluangkan masa bertanya khabar isteri Hasif yang berada di situ.

Hasif dilihat mengesat air mata ketika dikunjungi Raja Zarith Sofiah

Dalam insiden awal pagi semalam, Hasif yang juga anggota Unit Ronda Cegah Jenayah (RCJ) adalah seorang daripada tiga polis sedang bertugas di Balai Polis Ulu Tiram ketika lokasi berkenaan diserang seorang individu.

Bagaimanapun, dua anggota, Ahmad Azza Fahmi Azhar yang bertugas di pejabat pertanyaan dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, iaitu anggota prowler meninggal dunia di tempat kejadian.

Ahmad Azza Fahmi ditetak di belakang leher dan kepala, manakala Muhamad Syafiq ditembak di perut serta lengan.

Negara dikejutkan dengan kejadian itu awal pagi semalam dan insiden terbabit disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada sidang media, selepas beliau mengadakan lawatan ke lokasi kejadian.

Ujarnya, insiden pada kira-kira jam 2.30 pagi itu, membabitkan suspek yang bertopeng serta bersenjatakan pistol dan parang, sebelum turut mati ditembak.

Lebih mengejutkan, Razarudin berkata, suspek dalam kejadian serangan di balai polis berkenaan disahkan anggota organisasi pengganas antarabangsa, Jemaah Islamiyah (JI).

Menerusi siasatan awal, katanya, bapa suspek yang berusia 62 tahun juga adalah ahli kumpulan pengganas terbabit.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kegiatan kumpulan militan, Jemaah Islamiyah (JI) di Malaysia adalah terkawal setakat ini.

Manakala, tujuh individu termasuk seorang warga Singapura direman seminggu bermula hari ini hingga 24 Mei, bagi membantu siasatan kes serangan itu. – 18 Mei, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

What will we call for next? A ban on cheap cigarettes, tuak and kapcais? – Rocky Bru

While concerns over drug-laced vapes grow, a blanket ban could backfire by wiping out businesses, threatening jobs, pushing trade underground amid weak enforcement and open tank loopholes

Influencer Ms Puiyi wins RM4.3 mil suit against ex-business associate Mentos

Model and DJ gets judgment in default after former director of her company fails to appear in court

◉ Related