◉ HEADLINES

Penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig perlu ambil kira aspek perundangan, implikasi kewangan: Kesuma

Penentuan kadar upah, perlindungan sosial, keselamatan dan kesihatan pekerjaan juga perlu diambil kira

4:01 PM MYT

 

PUTRAJAYA — Aspek perundangan merangkumi akta baharu, mekanisme kilanan dan implikasi kewangan antara perkara yang perlu diambil kira dalam kerangka penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig demi menjaga kebajikan golongan itu.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) memaklumkan ia juga meliputi penentuan kadar upah, perlindungan sosial, keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta pangkalan data bersepadu bagi pendaftaran pekerja gig dan penyedia platform.

Menurut Kesuma sebagai tindakan segera ke atas keputusan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Pekerja Gig, pasukan perunding dari Universiti Malaya dilantik pada April lepas dengan satu mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Sumber Manusia Steven Sim diadakan bersama pasukan itu pada 14 Mei. 

“Laporan interim akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jun 2024 dan laporan akhir bakal dibentangkan pada  Ogos nanti,” menurut Kesuma.

Penubuhan suruhanjaya itu membolehkan satu saluran formal diwujudkan bagi mengendalikan isu pekerja dalam sektor gig seperti aduan kilanan berkaitan manipulasi platform kepada pekerja gig, penentuan kadar upah dan perkara lain yang berkaitan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) di Putrajaya pada 2 Mac lepas mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig itu bagi melindungi hak 1.12 juta pekerja gig dengan tumpuan untuk memenuhi keperluan sosial, menyelesaikan pertikaian kontrak dan mendorong kemajuan kerjaya golongan berkenaan. – 21 Mei, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

‘Live well without overspending’: Malaysia 7th best country to retire for expats

Affordable and quality private healthcare, visa and housing options favour Malaysia in International Living’s index

Malaysia sees 11.1% increase in crime rate, with property offences and assaults leading the rise

The latest report reveals a spike in property crimes and assaults, while homicides and kidnapping cases show signs of improvement

◉ Related