Bekas Setiausaha Politik Hamzah Zainudin didakwa terima rasuah tender PDRM RM381 juta

Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad, 42, mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di depan Hakim Azura Alwi

11:12 AM MYT

 

KUALA LUMPUR — Bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM350,000.

Ia bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan tender perkhidmatan penyelenggaraan dan pembekalan alat ganti peralatan untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), empat tahun lalu.

Walau bagaimanapun tertuduh, Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad, 42, mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di depan Hakim Azura Alwi.

Dia didakwa menerima suapan wang tunai RM350,000 daripada Wan Azhar Mohamed Yusof selaku Pengarah Urusan Syarikat Nexuscorp Group Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat berkenaan mendapatkan tender Perkhidmatan Penyelenggaraan Dan Pembekalan Alat Ganti Bagi Peralatan Infrastruktur, Server, Perisian Dan Radio Pengguna Sistem RMPNet untuk polis PDRM bernilai RM381,112,042.44.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Yayasan Tanah Aku, di Solaris Dutamas di sini, pada 4 petang, 4 Disember 2020 dan 3.30 petang, 16 Disember 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Zander Lim Wai Keong memohon tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan.

Syarat tersebut adalah tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

“Dia akan didakwa di Mahkamah Shah Alam (atas tuduhan lain) esok, oleh itu risiko untuk melarikan diri masih wujud,” katanya dan menambah kesalahan yang dilakukan adalah berat dan serius.

Azura yang menetapkan sebutan kes 12 Julai ini membenarkan Sayed Amir Muzzakkir diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur setiap bulan sehingga kes selesai.

Sayed Amir Muzzakkir juga tidak dibenarkan berhubung, berjumpa atau mengganggu mana-mana saksi terutama Wan Azhar sama ada secara fizikal atau mana-mana medium. – 23 Mei, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

The silent punch heard around the country – Terence Fernandez

The assault of deaf e-hailing driver raises the question if we are a nation divided by class

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related