HEADLINES

Insya-Allah kami kuat, harapan yang baik-baik untuk ibu bapa Zayn Rayyan esok

Hari ini, polis membawa Ismanira ke Mahkamah Majistret di sini dipercayai untuk merekod pengakuan wanita itu mengikut Seksyen 26(1) Akta Keterangan 1950 di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah

3:46 PM MYT

 

PETALING JAYA – “Insya-Allah kami semua kuat”.

Demikian tegas Zahari Mohd Reba, datuk kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya hari ini.

Zahari, 56, berkata, dia bagaimanapun tidak mahu membuat sebarang kenyataan lanjut susulan prosiding dalam kamar membabitkan menantunya, Ismanira Abdul Manaf di Mahkamah Majistret di sini.

“Alhamdulillah, lega (prosiding rekod keterangan) hari ini dah selesai. Kami akan datang ke mahkamah lagi esok (tamat reman).

“Saya tidak mahu beri sebarang kenyataan dan menyerahkan semuanya kepada peguam,” katanya.

Hari ini, polis membawa Ismanira ke Mahkamah Majistret di sini dipercayai untuk merekod pengakuan wanita itu mengikut Seksyen 26(1) Akta Keterangan 1950 di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Wanita berusia 29 tahun berkenaan yang dikawal ketat polis tiba di mahkamah pada jam 10.30 pagi dan dilihat meninggalkan lobi mahkamah dua jam kemudian.

Puluhan pengamal media yang hadir tidak dibenarkan mengikuti prosiding, sebaliknya hanya boleh membuat liputan perkembangan kes terbabit di lobi mahkamah.

Sementara itu, kakak kepada Ismanira berkata, keluarganya mengharapkan ada berita gembira berhubung kes dihadapi adik perempuannya.

Wanita berusia 42 tahun terbabit berkata, dia hadir ke mahkamah bagi memberikan sokongan kepada adik bongsu daripada tujuh beradik itu.

“Harapan untuk esok kita sama-sama tunggulah (dituduh atau dilepaskan). Alhamdulillah (tiada pengakuan) untuk (prosiding rakam keterangan) hari ini,” katanya.

Pada 31 Mei lalu, polis menahan pasangan suami isteri yang juga ibu bapa Zayn Rayyan iaitu Zaim Ikhwan Zahari serta Ismanira Abdul Manaf dan ditahan reman sehingga 1 Jun lalu.

Namun pada 7 Jun, polis telah mendapatkan perintah melanjutkan reman sehingga esok.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan sebelum ini berkata, tempoh reman ibu bapa Zayn itu dilanjutkan kerana terdapat percanggahan keterangan daripada saksi dan pasangan suami isteri itu.

Ismanira dalam pada itu turut dibawa ke lokasi kejadian pembunuhan di Apartment Idaman di Damansara Damai, pada Isnin, untuk melakonkan semula kejadian yang membawa kepada kehilangan dan penemuan mayat kanak-kanak berkenaan tahun lalu.

Mayat Zayn Rayyan ditemukan di anak sungai kira-kira 200 meter dari rumah keluarganya pada 6 Disember tahun lalu.

Walaupun pemeriksaan meluas ke atas penduduk di blok lain dan ujian DNA dilakukan, polis gagal menahan sesiapa sehingga penangkapan ibu bapa kanak-kanak itu. – 12 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

Malaysia’s longest river bridge opens, linking Sebuyau and Maludam

The RM848.75 million Batang Lupar No. 1 Bridge marks a new era in Sarawak’s coastal connectivity, replacing decades-old ferry crossings

Foreign workforce drops 13% as Malaysia pushes local hiring

Government maintains hiring freeze, prepares new levy system to curb dependency by 2030

SIC quashes F1 return rumours for 2026

Speaking to Scoop, SIC chief executive officer Azhan Shafriman Hanif said the SIC has not approached F1 or has any agreement to bring the race back. 

Related