HEADLINES

Cari penyelesaian tegas atasi pemandu asing ‘sedut’ subsidi RON95: PDAM

Undang-undang semasa di Malaysia tidak menghukum pemandu asing yang sengaja membeli minyak RON95 bersubsidi yang tidak diperuntukkan untuk mereka

6:09 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) menyifatkan ketiadaan pelaksanaan hukuman terhadap pemandu asing yang membeli minyak bersubsidi RON95 di negara ini menyebabkan hal tersebut terus berleluasa.

Justeru Presiden PDAM, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz menggesa langkah penyelesaian terbaik bagi menghentikan ‘tabiat’ pemandu asing tersebut daripada berterusan.

“Undang-undang semasa di Malaysia tidak menghukum pemandu asing yang sengaja membeli minyak RON95 bersubsidi yang tidak diperuntukkan untuk mereka.

“Ini mewujudkan situasi di mana pesalah terus membuat percubaan mendapatkan bekalan minyak RON95 bersubsidi ini, secara tersembunyi dan pada waktu-waktu yang dilihat lebih sesuai.

“Ini menjadikan pemantauan dan pencegahan sukar untuk pekerja kami terutama apabila transaksi membabitkan pembelian minyak RON95 menggunakan kad debit atau kredit di pam,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pengusaha stesen minyak akan dikenakan penalti yang tinggi mengikut undang-undang sedia ada namun larangan penjualan RON95 kepada pemandu kenderaan pendaftaran asing menjadi satu cabaran buat mereka.

Katanya, ini susulan tiada laporan lanjut yang boleh dibuat berkenaan pemandu asing yang tidak mematuhi peraturan tersebut.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan kerjasama daripada orang ramai untuk segera memaklumkan kepada juruwang apabila melihat kejadian itu berlaku bagi menghentikannya.

“Juruwang kami boleh menghentikan pam dengan secepat mungkin melalui sistem dari dalam kedai, namun, pihak PDAM kecewa kerana tindakan yang boleh diambil adalah terhad, hanya mampu untuk menghentikan penjualan kepada pemandu terbabit di stesen sahaja.

“Tiada laporan lanjut yang boleh di buat terhadap pemandu terbabit kerana tiada rang undang-undang yang boleh menghukum pemandu yang menyalahgunakan subsidi petrol RON95 ini.

“Kami juga tidak boleh terbabit dalam konflik bersama pesalah laku kerana ia boleh menyebabkan insiden yang tidak diingini,” katanya.

Bagi mengelakkan ketirisan ini daripada terus berlaku, Khairul berharap pihak berkuasa dapat melaksanakan satu kaedah penyelesaian bersesuaian bagi memastikan dana pembayar cukai digunakan dengan sewajarnya serta adil, untuk manfaat rakyat Malaysia yang layak menerima subsidi.

Semalam Scoop melaporkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Melaka bertindak menyerbu sebuah stesen minyak di Alor Gajah, Melaka, selepas disyaki menjual petrol bersubsidi RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing, dipercayai dari negara jiran.

Pengarah KPDN negeri, Norena Jaafar berkata, tindakan itu dilakukan susulan tular rakaman memaparkan seorang individu menaiki kenderaan berpendaftaran negara asing mengisi petrol bersubsidi yang menimbulkan pelbagai reaksi negatif pelayar media sosial, baru-baru ini.

Jika disabit kesalahan, pengusaha stesen minyak boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara bagi tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. – 20 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

Is it costly for small businesses to obtain halal certification?

A restaurant owners’ group agrees it can be, while application guidelines show fee is not high but added costs lie in the process to achieve compliance

Jaya Grocer invests RM100 million in Malaysia’s first automated grocery warehouse

Jaya Grocer announces its largest investment yet, a state-of-the-art automated warehouse in Selangor, set to revolutionize supply chain efficiency, create high-skilled tech roles, and support Malaysia's digital economy

Influencer Ms Puiyi wins RM4.3 mil suit against ex-business associate Mentos

Model and DJ gets judgment in default after former director of her company fails to appear in court

Related