HEADLINES

Jais arah tangguh, tidak undang Ustaz Don beri ceramah agama

Ketetapan itu dibuat berikutan beberapa isu mengenai pengajaran atau ceramah agama Islam disampaikan Ustaz Don disyaki membawa kepada perlanggaran beberapa ketetapan dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008

7:29 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sudah mengeluarkan arahan kepada semua agensi, masjid, surau dan musolla bagi menangguhkan atau tidak mengundang Ustaz Don Daniyal Don Biyajid untuk mengajar agama Islam atau apa-apa perkara berkaitan agama Islam di premis masing-masing pada 21 Jun lalu.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ketetapan itu dibuat berikutan beberapa isu mengenai pengajaran atau ceramah agama Islam disampaikan Ustaz Don disyaki membawa kepada perlanggaran beberapa ketetapan di dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

“Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) amat berkenan dan menekankan kepada pemegang tauliah agar umat Islam di Selangor dapat diberikan kefahaman Islam yang tepat berdasarkan sumber sahih mengikut disiplin ilmu Islam.

“Sehubungan itu, Jais perlu menghentikan perkara seumpama ini dengan segera supaya tidak berleluasa di negeri ini berkaitan apa jua bentuk pandangan dan pernyataan mengenai hukum-hakam agama Islam yang tidak berasaskan nas dan dalil sahih serta di luar pengetahuan umum majoriti umat Islam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Shahzihan berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) semalam memutuskan Ustaz Don perlu mengemukakan kenyataan bertulisnya kepada jawatankuasa terhadap beberapa fakta mengenai ceramah agama yang dibuat olehnya.

“Ini selaras dengan Peraturan 17 (b), (d) dan (f) Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 agar penggantungan atau penarikan semula tauliah oleh jawatankuasa tidak dilaksanakan terhadap beliau.

“Berdasarkan beberapa aduan diterima oleh pihak Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan Jais, satu kertas siasatan juga dibuka terhadap Ustaz Don di bawah Seksyen 7, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, Jais amat berharap agar semua pihak di Negeri Selangor dapat berkerjasama dan akur serta dapat mematuhi arahan tersebut.

Katanya, arahan tersebut terpakai sehingga Jawatankuasa Tauliah Mais membuat keputusan muktamad mengenai kedudukan Ustaz Don sebagai pemegang tauliah mengajar MAIS.
Terdahulu, media melaporkan RTM menamatkan khidmat Ustaz Don sebagai pengacara program Salam Baitullah selepas beliau mengulangi perbuatan ingkar arahan penerbit dan tidak patuh skrip.

Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman dilaporkan berkata, sebagai pengacara, Ustaz Don sepatutnya patuh kepada skrip dan tidak memetik mana-mana kitab atau hadis ketika bersiaran.

Belumpun reda kontroversi itu, Ustaz Don dikecam netizen kerana memberi jawapan mengelirukan di sebuah stesen radio berhubung ibadah berpuasa pada hari kedua, ketiga dan keempat pada Aidiladha.

Susulan itu, beliau memohon maaf dan memberikan jawapan berkaitan soalan sama menerusi Instagramnya pada 19 Jun lalu.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar turut terkilan isu itu masih berlarutan walaupun sudah memberi arahan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk berbincang dengan Ustaz Don.

Katanya, ilmu pengetahuan perlu disampaikan berdasarkan sumber dan rujukan yang diyakini penceramah tersebut kerana setiap agamawan mempunyai pengkhususan tertentu. – 25 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Related