HEADLINES

Umat Islam usah gaduh sesama sendiri, ‘kalah jadi abu, menang jadi arang’: Na’im

Sempena sambutan Maal Hijrah 2024/1446H, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu menyeru umat Islam untuk menyerap semangat Al-Falah bangunkan negara

12:31 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Umat Islam perlu bertekad bersama-sama membangunkan negara berasaskan nilai Islam dengan bertunjangkan semangat Al-Falah (kejayaan), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar.

Mohd Na’im berkata, ia bertepatan dengan tema Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2024/1446H iaitu ‘Al-Falah Pemacu Malaysia Madani’ yang turut menjadi asas penghayatan majlis sambutan tahun baharu kalendar Islam itu.

“Cukup-cukuplah kita berseteru sesama sendiri. Ia amat merugikan agama dan negara. Umpama yang kalah jadi abu, yang menang jadi arang.

“Segala kesumat kebencian perlu dileraikan dengan nilai rahmah dan kasih sayang,” katanya dalam sembah ucapan menjunjung kasih pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2024/1446H di sini hari ini.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis itu.

Turut hadir pada majlis itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. 

Mohd Na’im turut mengajak umat Islam untuk bersama-sama memikul tanggungjawab mengekalkan keharmonian negara dengan berpandukan Fiqh Ta’ayush (fiqh kewujudan bersama).

“Usahlah sentimen keagamaan dan perkauman dijadikan alat untuk meraih sokongan dan kepentingan tertentu,” katanya.

Beliau berkata, semangat Maal Hijrah menuntut umat Islam untuk membuka lembaran baharu dan bangkit menguasai pelbagai disiplin ilmu serta kepakaran selain perlu mengoptimumkan penggunaan teknologi bagi memajukan daya saing yang berkemahiran tinggi.

“Umat Islam tidak boleh ketinggalan di belakang daripada menguasai bidang keilmuan demi memakmurkan negara,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar Allah SWT mengurniakan keimanan dan ketakwaan kepada umat Islam dan mahu peristiwa hijrah Rasulullah SAW dijadikan sebagai iktibar dalam meningkatkan iltizam untuk terus berusaha bersungguh-sungguh demi melaksanakan agenda Al-Falah bagi memacu Malaysia Madani. – 7 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Govt to raise alcohol excise duty by 10% from November 2025, tobacco taxes also up: Anwar

Prime Minister says the move, announced under Budget 2026, aims to promote healthier lifestyles and reduce access to alcohol and tobacco, with additional revenue channelled to the Health Ministry

Kuala Lumpur location for Marvel superhero film Thunderbolts

Florence Pugh was in Malaysia and shot scenes in Medan Pasar, Merdeka 118

Related