HEADLINES

PRK Nenggiri: Keputusan PAS boleh makan diri, beri kelebihan kepada Umno

PAS memberi laluan kepada Bersatu untuk bertanding di kerusi tersebut biarpun parti itu berdepan masalah dalaman

10:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Keputusan PAS memberi laluan kepada Bersatu bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri boleh memakan diri sekali gus memberi kelebihan kepada Umno untuk merampas kembali kubu kuat parti itu.

Bercakap kepada Scoop, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Prof Azmi Hassan berkata, ini kerana penyokong PAS dikhuatiri akan memboikot calon Bersatu menerusi peti undi sebagaimana yang berlaku pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB), Mei lalu.

Menurut beliau, hakikatnya bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim memenangi kerusi itu kerana bertanding menggunakan logo PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Saya yakin mereka (pengundi) akan terima keputusan kepimpinan PAS tapi isunya di Nenggiri, Bersatu dulu menang hanya dengan 810 undi, jadi tak banyak.

“Dalam hal itu, 85% adalah pengundi Melayu dan calon dikemukakan Umno, calon orang muda. Jadi inilah cabaran dihadapi Bersatu sekarang kerana mereka menghadapi masalah dalaman parti.

“Masalah kepimpinan yang diatur ini sedikit sebanyak memberi ruang kepada Umno untuk merampas kembali Nenggiri apatah lagi Umno dari awal lagi kata PRK ini adalah persaingan antara Umno dan PAS,” katanya.

Menurut Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Prof Azmi Hassan, penyokong PAS dikhuatiri akan memboikot calon Bersatu menerusi peti undi sebagaimana yang berlaku pada Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu, Mei lalu. – Gambar Bernama, 24 Julai, 2024

Terdahulu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan parti itu kekal dengan pendirian untuk memberi laluan kepada calon Bersatu bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) pada PRK DUN Nenggiri, 17 Ogos depan.

Beliau berkata, parti itu menghormati keputusan muktamad pucuk pimpinan tertinggi PN bahawa kerusi DUN Nenggiri tetap ditandingi calon Bersatu dalam PRK nanti.

Sebelum ini, PAS Gua Musang berharap calonnya diberi laluan bertanding di kerusi tersebut dengan alasan kebimbangan pengundi bahawa ‘pisang akan berbuah dua kali’ jika wakil Bersatu bertanding nanti.

Sementara itu, penganalisis politik di Universiti Malaya (UM), Mohammad Tawfik Yaakub pula berpendapat, siapa saja yang dipertaruhkan Bersatu di kerusi Nenggiri pasti akan menang kerana calon tersebut bertanding menggunakan logo PAS.

Beliau berkata, rakyat di Kelantan sudah sinonim dengan simbol bulan dan situasi semasa politik hari ini masih memberi kelebihan kepada Bersatu yang mewakili PN untuk mempertahankan kerusi tersebut.

Penganalisis politik di Universiti Malaya, Mohammad Tawfik Yaakub percaya, siapa sahaja yang dipertaruhkan Bersatu di kerusi Nenggiri pasti akan menang kerana calon tersebut bertanding menggunakan logo PAS. – Gambar media sosial, 24 Julai, 2024

“Jika Bersatu menggunakan simbolnya sendiri maka saya yakin sedikit sebanyak akan mempengaruhi pilihan pengundi, tetapi simbol bulan PAS amat sinonim dan kuat di Kelantan.

“Malah dalam suasana politik semasa, PN masih mempunyai kelebihan untuk menang, apatah lagi saya yakin Bersatu akan menggunakan simbol PAS untuk bertanding dalam PRK ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pilihan raya hari ini tidak lagi berkait mengenai isu latar belakang calon semata-mata tetapi lebih kepada politik perut rakyat.

“Kita tengok di PRK Sungai Bakap, Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan calon yang pernah memegang jawatan tinggi dalam kerajaan dan ada PHD pun tak boleh menang. Jadi sukar untuk Umno menang dalam suasana politik hari ini.

“Jika ada parti dan calon yang boleh jaga perut rakyat, maka mereka boleh menang. Apatah lagi, pembangkang sudah tentu membangkitkan isu kos sara hidup dan penyasaran harga diesel untuk meraih sokongan pengundi di Nenggiri,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan manakala tarikh penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos akan datang.

Ia diadakan susulan kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Bersatu selepas menyatakan sokongan secara terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu, Azizi yang bertanding atas tiket PAS memperoleh 6,517 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Ab Aziz Yusoff yang mendapat 5,707 undi. – 24 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Jana Wibawa: Muhyiddin’s trial continues as appeals court rejects bid to reinstate acquittal

Five-judge panel dismisses Bersatu president’s application to review findings which led to four charges related to RM232.5 mil in bribes being reinstated in Feb

Govt commits RM24mil to bring FIFA World Cup 2026 to every Malaysian screen: Fahmi

Fans nationwide will enjoy full tournament coverage via RTM, Unifi TV, and public viewing events under MADANI government initiative

Related