HEADLINES

Tanah jerlus Jalan Masjid India: Penjaja akur, harap dapat pulang modal

Timbalan Pengerusi Persatuan Penjaja TAR, Roslan Ghani berkata keutamaan diberikan kepada peniaga yang menjual makanan dan barang mudah rosak manakala peniaga barangan kering diminta bercuti sementara

8:08 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Hanya 250 daripada 567 penjaja pasar malam di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dibenarkan berniaga malam tadi manakala selebihnya diminta berehat susulan kejadian tanah jerlus melibatkan seorang wanita warga India, Jumaat lalu.

Timbalan Pengerusi Persatuan Penjaja TAR, Roslan Ghani ketika ditemui Scoop berkata, perkara itu dicapai hasil perbincangan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membolehkan lorong itu dikosongkan untuk laluan kecemasan bagi jentera bomba dan polis.

Timbalan Pengerusi Persatuan Penjaja TAR, Roslan Ghani berkata hanya peniaga makanan dibenarkan meneruskan operasi di pasar malam jalan TAR malam tadi. – Gambar Scoop, 25 Ogos, 2024

Peniaga berkenaan juga, kata Roslan, terpaksa dipindahkan sedikit ke hadapan dan mereka berniaga mulai 12 tengah hari sehingga 10 malam.

“Disebabkan perbincangan dengan DBKL diadakan saat akhir, keutamaan diberikan kepada peniaga makanan untuk beroperasi kerana mereka sudah menyediakan makanan untuk jualan.

“Kami beri keutamaan kepada peniaga makanan untuk beroperasi semalam sebab mereka dah sediakan makanan jualan. Manakala yang berniaga pakaian dan bahan kering, kami minta mereka bercuti dahulu,’’ katanya ketika ditemui Scoop.

Operasi SAR diadakan bagi mengesan seorang wanita warganegara India, warganegara India, Vijayalectchumy, 48 yang terperangkap dan dikhuatiri tertimbus tanah jerlus sedalam lapan meter di hadapan Malayan Mansion, Jalan Masjid India, pada Jumaat.

Seorang wanita warganegara India, Vijayalectchumy, 48 terperangkap dan dikhuatiri tertimbus tanah jerlus sedalam lapan meter di hadapan Malayan Mansion, Jalan Masjid India, pada Jumaat. – Gambar Muharram Kasim, 25 Ogos, 2024

Sementara itu, seorang peniaga nasi campur, Yusmira Redhuan, 29, berkata dia terpaksa juga meneruskan perniagaan kerana telah sedia memasak juadah untuk jualan.

Menurutnya, dia cuma berharap agar mendapat semula modal sebanyak RM2,000 yang dibelanjakan semalam untuk menyediakan lauk-pauk untuk jualan.

“Kami dimaklumkan saat akhir, dalam jam 12 tengah hari dan semua lauk-pauk dah siap dimasak. Jadi, saya buat keputusan teruskan juga jualan walaupun pengunjung tak serancak minggu-minggu biasa,’’ katanya.

Sementara itu, seorang peniaga buah yang hanya mahu dikenali sebagai Adnan berkata, kejadian mendapan tanah bukan pertama kali berlaku di sekitar kawasan berkenaan.

Sebaliknya, insiden sama berlaku bulan lepas iaitu kira-kira 50 meter daripada lokasi kejadian tanah mendap pada Jumaat, namun kerja-kerja pembaikan dijalankan segera.

“Bulan lalu, DBKL menutup jalan kira-kira 50 meter daripada lokasi kejadian sebab jalan mendap.

“Bila dah berlaku keadaan seperti ini, saya betul-betul berharap ada tindakan serius daripada pihak berkuasa supaya kejadian sebegini tidak berulang,” katanya. – 25 Ogos, 2024

Topics

 

Hangat

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Govt has settled RM42bil of 1MDB debt, total obligations exceed RM50bil: Anwar

Anwar reveals over RM9 billion in remaining debt, with government funds covering the shortfall

Solat Jumaat di pusat beli-belah: Zulkifli galak negeri lain turut serta

Menteri Agama Dr Zulkifli Hasan mengalu‑alukan negeri lain mencontohi Wilayah Persekutuan yang sudah mula laksana solat Jumaat di pusat beli‑belah, sambil merancang perluasan ke terminal, lapangan terbang dan R&R lebuh raya

Related